UiTM juara Liga Futsal IPT 2023

Juara Dengan Rekod ‘Invincible’, UiTM Optimis Untuk Musim Depan

Sesuatu yang pastinya menjadi kebanggaan buat warga sukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) tatkala pasukan futsal mereka meraih kejuaraan Liga Super Kejohanan Liga Futsal Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2023 dengan rekod tanpa kalah selepas melalui 18 perlawanan.

Meraih 14 kemenangan dan empat seri, UiTM dinobatkan sebagai juara dengan mengumpul 46 mata, empat mata di depan pencabar terdekat Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi. Ia turut dibantu hasil kemenangan terakhir yang diraih mereka ke atas lawannya itu.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pula menamatkan saingan di tangga ke-3 dengan 34 mata. Mereka diikuti rapat oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia di tangga ke-4 dengan 32 mata. Melengkapkan dua lagi pasukan yang kekal di pentas Liga Super untuk musim hadapan adalah Politeknik Malaysia dan University of Notthingham Malaysia (UNM) di kedudukan ke-5 dan ke-6 keseluruhan.

Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang sudah mengesahkan lebih awal tiket ke Liga Super diangkat sebagai juara Liga Premier dengan mengumpul 45 mata, jauh meninggalkan pesaing terdekat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mengumpul 34 mata, berkongsi mata bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan diikuti UiTM Perlis di kedudukan ke-4 dengan 30 mata keseluruhan.

Keempat-empat pasukan tersebut sah bakal melayakkan diri ke saingan Liga Super musim 2024.

Alhamdulillah apa yang kita rancang menjadi. Saya berpuas hati dengan komitmen dan kesungguhan pemain dalam memburu kemenangan buat pasukan,ungkap Ketua Jurulatih UiTM, Addy Syairullyzam Mohd Shafiee yang dipetik daripada portal Berita Harian.

Meskipun tahun ini kita akan kehilangan beberapa pemain yang akan menamatkan pengajian, saya optimis dapat meneruskan prestasi cemerlang ini tahun depan,” tambahnya lagi yang telah memberikan kejuaraan buat kali kelapan kepada UiTM pada musim ini.

Selain itu, kategori wanita pula diungguli oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), diikuti UiTM di kedudukan kedua dengan 35 mata, kurang dua mata daripada kejuaraan dan UPSI di kedudukan ketiga dengan 32 mata selepas melalui 14 perlawanan.

Pusingan Grand Final kejohanan tersebut atau fasa keempat dan terakhir yang telah dilangsungkan di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada 5 hingga 9 November yang lalu itu dikatakan turut dipantau oleh pengendali skuad kebangsaan, Rakphol Sainetngam.

Start a Conversation