
“Jika diberi peluang untuk kembali ke arena futsal beliau akan kembali berkhidmat untuk pasukan yang memerlukannya.” Awe
On May 9, 2016 by FixoTiada sebarang berita mengenai arena futsal di Malaysia ini membuatkan pemain ini beralih arah ke dunia Bola Sepak. Pemain yang dimaksudkan itu adalah Mohd Asmie Amir Zahari atau lebih dikenali dengan panggilan Awe.
Bagi yang mengikuti perkembangan arena futsal di Malaysia ini pasti mengenali pemain ini yang pernah mewarnai arena futsal kita. Awe yang berasal dari Kota Bharu Kelantan ini memulakan kariernya sebagai pemain bola sepak ketika berumur 15 tahun ketika itu beliau terpilih mewakili pasukan bola sepak Kelantan di Piala Coca Cola.
Beliau juga pernah mewakili pasukan Piala Presiden Kelantan. 2008 beliau mula beralih ke arena futsal apabila beliau terpilih untuk mewakili Kelantan di Kejohanan Jaguh Futsal RTM. Semenjak dari itu beliau mula bergiat aktif di arena futsal ini.
Hari demi hari beliau mula mencipta nama di arena futsal malah Awe boleh dikatakan mempunyai pengalaman dan pencapaian terbaik buat karier beliau sebagai pemain futsal. Beliau pernah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak bagi Liga Futsal Kebangsaan pada tahun 2011 ketika itu beliau mewakili pasukan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).
4 tahun/musim beliau berkhidmat untuk pasukan MPSJ sebelum berhijrah ke pasukan Selangor pada tahun 2015. Ketika mewakili MPSJ beliau pernah membantu pasukan itu mendapat naib johan Liga Futsal Kebangsaan sebanyak dua kali pada tahun 2011 dan juga 2013.
Bakat yang beliau ada juga telah membawa beliau ke peringkat antarabangsa apabila beliau dipanggil untuk mewakili pasukan futsal kebangsaan daripada tahun 2011 hingga 2015.
Namun bermula 2016 beliau telah kembali ke dunia bola sepak setelah tiada sebarang berita mengenai arena futsal di Malaysia sehingga hari ini. Kini Awe mewakili pasukan MPKB-BRI UBES FC di Piala FAM 2016.
Ketika dihubungi beliau memberitahu bahawa beliau telah hadir ke pemilihan terbuka pasukan itu dan rezeki buatnya apabila beliau terpilih. Pasukan ini yang berpengkalan di Kota Bharu, Kelantan juga menjadi salah satu faktor beliau beralih arah ke dunia bola sepak kerana ia berdekatan dengan halaman kampung beliau.
Pemain yang bermain di posisi tengah ini juga memberitahu bahawa teknik futsal banyak membantu beliau dalam corak permainannya di setiap perlawanan yang dihadapi. Walaupun kini beliau aktif di dunia bola sepak namun beliau tidak menafikan bahawa beliau rindu akan arena futsal dan jika diberi peluang untuk kembali ke arena futsal beliau akan kembali berkhidmat untuk pasukan yang memerlukannya.
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.