JDT Masuk Ke Musim Baru Dengan Tambahan ‘Senjata’ Baharu
On December 15, 2023 by Al-Zaim ArzamanSesi pramusim skuad futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) bermula dengan mereka telah memperkenalkan kepada umum tiga individu baharu.
Ketiga-tiga individu ini bakal memperkukuhkan cabaran JDT dalam usaha untuk menguatkan cengkaman dalam saingan futsal tempatan. Mereka adalah jurulatih kecergasan, Suso Rey, penolong jurulatih, Lokman Tajuddin dan pemain skuad kebangsaan, Yazid Kamaruzuan.
Yazid sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi, seorang bintang skuad kebangsaan yang bermain untuk Selangor TOT pada musim lalu.
Sifat kepimpinannya di dalam gelanggang selain tajam di depan gawang itu pastinya mahu ditagih JDT untuk membentuk skuad ampuh.
Mereka tertarik dengannya yang bermain bagus pada musim lalu apabila meledak 13 gol, malah cemerlang meledak hatrik berdepan JDT.
Selain itu, JDT turut membawa masuk dua jurulatih baharu – masing-masing seorang import dan tempatan, dalam memperkemaskan senarai barisan kejurulatihan untuk membantu ketua jurulatih, Juanito. Suso dan Lokman sudah berpengalaman dalam arena futsal.
Terutamanya Suso, beliau sangat berpengalaman luas serta pernah mengendalikan skuad futsal di Liga Futsal Profesional Indonesia, Bintang Timur Surabaya yang dinobatkan sebagai juara liga di sana. Tambahan pula beliau pernah bertugas di Liga Futsal Sepanyol.
Untuk Lokman, warga Johor pasti mengenalinya dengan reputasinya sebagai lagenda futsal negeri. Kariernya di sana adalah sejak 2007 hingga 2009 selain mewakili skuad kebangsaan. Beliau juga pernah membawa skuad futsal Johor untuk SUKMA, Liga IPT dan MAKSAK.
Dalam pada itu, setakat ini, JDT telah meminjamkan seorang pemainnya iaitu Kisshaen Ananthan ke KL City. Mereka juga dikatakan sedang sabar menanti ketibaan beberapa pemain antaranya dari Selangor MAC (kini Selangor) dan Pahang Rangers termasuklah pemain import.
JDT muncul naib juara MPFL dan Piala Futsal Malaysia (MFC) pada edisi lalu – dikecewakan oleh lawan yang sama iaitu Pahang Rangers.
Selain Yazid, siapa lagi yang sedang menuju ke Pasir Gudang? Dapat tawaran JDT, tentunya reputasi pemain-pemain itu bukan biasa-biasa.
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.