
Jalin Kerjasama Dengan PBNP & Pahang Rangers, KPFL Tarikan Terbaru Kaki Futsal Di Kuantan
On January 13, 2025 by Al-Zaim ArzamanBandaraya Kuantan sudah terkenal dengan pantai-pantainya yang cantik dan bersih, tambahan pula lokasinya yang terletak di Pantai Timur Malaysia yang sememangnya memiliki pantai-pantai yang memukau sebagai tarikan utamanya. Tak mustahil, futsal juga antara perkara yang mengingatkan kaki futsal tentang ibu negeri Pahang ini.
Siapa yang boleh lupakan tentang Kuantan Rangers yang memahat sejarah selaku pasukan pertama dari Malaysia yang menjuarai Liga Futsal Brunei pada 2017. Kini dikenali sebagai Pahang Rangers sejak 2019, mereka telah menjulang kejuaraan Malaysian Premier Futsal League (MPFL) dan Malaysian Futsal Cup (MFC) pada edisi 2023 yang lalu.
Dilihat sebagai antara pasukan pencabar terkuat di MPFL, Pahang Rangers adalah antara rujukan utama kelab-kelab futsal di dalam negara sebagai kelab swasta terbaik selain Selangor dan yang terbaru, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Hasil inisiatif Ketua Pengarah kejohanan, Muhammad Najmi Mohd Izani dan rakannya, Khairul Ikhwan Ruslan daripada syarikat sukan, RK Sport Empire, maka tercetuslah kejohanan amatur, Kuantan Premier Futsal League (KPFL) 2025.

“Pada mulanya kami hanya mengeluarkan duit poket sendiri dan juga sedikit duit syarikat untuk menyediakan segala kelengkapan. Dan pada akhirnya kami berjaya menarik minat penaja yang sudi membantu dari segi kewangan dan kelengkapan,” ungkap Najmi sebagai pembuka bicara selepas dihubungi Arena Futsal Malaysia, baru-baru ini.
“[Kami] dapat idea untuk wujudkan liga hasil daripada pemerhatian kami kepada jenis ‘tournament’ yang ada di Kuantan yang mana biasanya untuk futsal semua ‘tournament’ hanya berbentuk karnival. Belum ada liga futsal besar dan konsisten di Kuantan,” jelasnya lagi sambil menyatakan yang sambutan yang diraih di luar jangkaan mereka.
“Kami amat berpuas hati,” tambahnya. Mereka turut berhasil mendapatkan penajaan daripada syarikat besar iaitu CelcomDigi selain tajaan berbentuk pakaian krew pihak penganjur, BIP untuk para pemain daripada Alphasport.
Mereka turut menjalin kerjasama bersama Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dan Pahang Rangers sebagai usaha untuk melahirkan pemain-pemain futsal berkualiti serta mampu beraksi di tahap lebih tinggi. “[Kami] mengalu-alukan mereka untuk menghantar wakil atau ‘scouter’ untuk mencari bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan,” tambah Najmi yang mengharapkan agar KPFL menjadi platform komuniti bola sepak dan futsal mempamerkan bakat.


Disertai 10 pasukan untuk edisi sulung, aksi minggu pertama sudah berlangsung semalam dan akan diteruskan pada malam ini dengan semua perlawanan akan dilangsungkan pada sebelah malam di Sergio Aguero Arena, Semambu.
Ketika ditanyakan tentang tarikan utama kejohanan anjuran mereka ini, beliau berkata, “Dari segi ciri-ciri pertandingan yang mana kami cuba menerapkan segala syarat dan peraturan seperti MPFL oleh kerana objektif kami untuk menjadi platform futsal nombor 1 di Kuantan. Seterusnya, pasukan-pasukan yang bertanding juga merupakan pasukan yang kuat di Kuantan, menjadikan saingan dalam KPFL lebih mencabar. Tarikan seterusnya adalah dari segi hebahan ataupun ‘content’ di media sosial kami yang aktif dan dekat dengan peminat futsal, menjadikan KPFL lebih meriah.“
Menerjah ke laman Instagram rasmi mereka, sememangnya apa yang dikatakannya tentang ‘content’ sebagai salah satu tarikan ada benarnya. Kemas, teratur dan ‘up-to-date’ adalah ciri-ciri yang ditampilkan oleh pihak penganjur.
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.