
#Highlight Kelayakan LFK 2017
On December 27, 2016 by FixoPusingan kelayakan Liga Futsal Kebangsaan 2017 telah berlangsung pada 21 hingga 23 Disember lepas di Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam. Sebanyak 10 pasukan telah mengambil bahagian untuk merebut 2 slot kekosongan di LFK 2017. Namun kejutan telah berlaku apabila pasukan Selangor FA telah membuat keputusan untuk menarik diri daripada menyertai LFK musim 2017 ini. Keputusan itu telah membuka satu lagu slot kosong untuk dipenuhi dan secara keseluruhan 3 pasukan akan layak ke LFK2017 ini.
3 pasukan yang berjaya layak ke LFK musim 2017 adalah pasukan Pulau Pinang MBPP, KL Petaling Putra FC dan juga pasukan KL City FC.
Berikut antara pemerhatian kami yang dapat diulas bagi kesemua pasukan yang beraksi di pusingan kelayakan ini :
Pulau Pinang MBPP
Pasukan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) muncul pasukan pertama berjaya layak ke Liga Futsal Kebangsaan (LFK) 2017 apabila sah bergelar juara Kumpulan B selepas berakhirnya hari kedua saingan pusingan kelayakan walaupun mereka masih berbaki satu perlawanan.
Mereka berjaya meraih 3 kemenangan dan 1 seri sekaligus secara automatik layak ke #LFK2017. Walaupun kali pertama menyertai pusingan kelayakan namun kehadiran beberapa pemain pengalaman berjaya membantu pasukan ini. Tahniah buat Pasukan Pulau Pinang MBPP.
KL Petaling Putra FC
Tersentak dengan kekalahan di perlawanan pertama pusingan kelayakan #LFK2017 tidak memberikan kesan yang panjang buat pasukan KL Petaling Putra FC.
Kekalahan tersebut telah menaikkan semangat pasukan kendalian Mohd Shafik Ezdee ini untuk bangkit dan terus memberikan saingan kepada pasukan lain.
Ini telah dibuktikan apabila mereka berjaya peroleh 9 mata setelah berjaya memenangi 3 perlawanan berikutnya.
Kemenangan tersebut membolehkan KL Petaling Putra FC bergelar juara Kumpulan A sekaligus muncul pasukan kedua layak ke #LFK2017.
Ini merupakan musim kedua pasukan KL Petaling Putra FC akan bersaing di LFK.
KL City FC
Pengalaman adalah guru yang terbaik dan ini adalah ungkapan yang sesuai buat pasukan KL City FC.
Penyertaan kali ketiga pasukan ini di pusingan kelayakan kali ini telah membuahkan hasil apabila pasukan KL City FC berjaya mengisi slot terakhir untuk layak ke #LFK2017 selepas memenangi perlawanan playoff semalam.
Mendapat sentuhan bekas pemain futsal kebangsaan, Jerry Dinesh Pireira tampak memberikan satu perubahan buat pasukan ini.
Walaupun mempertaruhkan pemain muda dan baru namun ia tidak menjadi penghalang apabila mereka telah melakukan persediaan yang rapi sebelum bersaing di pusingan kelayakan ini dengan latihan yang konsisten selama tiga bulan serta menyertai beberapa liga amatur.
Perlis KSMR Kangar FC
Jika dilihat di atas kertas mereka bukanlah pasukan pilihan di pusingan kelayakan #LFK2017 ini.
Namnu Pasukan Perlis KSMR Kangar FC ini berjaya membuat kejutan apabila mereka berjaya mengikat pasukan Pulau Pinang dan juga Kuantan Rangers FC.
Kemenangan mereka di perlawanan terakhir menentang ATM juga telah mengejutkan para penonton yang hadir dan kemenangan tersebut berjaya membawa pasukan ini ke pusingan playoff.
Walaupun kepenatan ekoran waktu rehat yang singkat barisan pemain muda Bakri Baharom ini telah menunjukkan satu aksi juang yang tinggi dan mereka terus memberikan tentangan sengit kepada pasukan KL City FC di perlawanan playoff.
Pasukan ini sebenarnya mempunyai barisan pemain muda yang baik dan tidak mustahil mereka akan kembali dengan lebih baik dan bersedia.
Majoriti pemain pasukan Perlis KSMR Kangar FC yang diturunkan adalah para pemain muda yang beraksi di kejohanan bawah 19 baru -baru ini serta gabungan beberapa pemain dari IPT sekitar Perlis.
Sabah Quilmes FC
Harapan untuk meneruskan saingan di #LFK2017tidak kesampaian apabila pasukan Sabah Quilmes FC mengakhiri pusingan kelayakan di kedudukan ketiga kumpulan A.
Mereka berkongsi 7 mata bersama pasukan KL City FC yang layak ke pusingan playoff hanya dibezakan dengan jaringan gol.
Namun apa yang menarik bagi pasukan Sabah Quilmes FC pada kali ini adalah mereka menampilkan barisan pemain yang baru yang terdiri daripada 70 peratus pelajar politeknik seluruh negara.
Aksi anak-anak buah Zamry Ahmad Mokhtar ini tidak mengecewakan walaupun majoriti para pemain pertama kali bersaing di peringkat ini mereka mampu memberi saingan yang tinggi namun rezeki tidak menyebelahi mereka pada kali ini.
Pulau Pinang
Persiapan pasukan tidak sampai sebulan dan pertama kali mengendalikan pasukan ini merupakan cabaran buat ketua jurulatih Pulau Pinang iaitu Hasrinizam Hashim.
Impian untuk melihat dua pasukan dari Pulau Pinang kembali di kancah LFK tidak kesampaian apabila pasukan Pulau Pinang menamatkan pusingan kelayakan di kedudukan ketiga kumpulan B.
Walaupun berkongsi mata bersama pasukan Perlis namun mereka terpaksa akur tewas dengan kelebihan jaringan gol.
Satu lagi wakil iaitu Pulau Pinang MBPP pula menjuarai kumpulan B dan secara automatik berjaya layak ke #LFK2017
ATM
Pasukan ATM bukan satu pasukan asing bagi arena futsal di Malaysia ini. Mereka pernah beraksi beberapa kali di Liga Futsal Kebangsaan dan kali terakhir mereka beraksi di LFK musim 2013/2014 dimana mereka menduduki kedudukan ke-10 daripada 16 pasukan.
Kali ini mereka tampil semula dengan gabungan para pemain senior dan juga junior untuk memberi saingan di pusingan kelayakan #LFK2017.
ATM mengakhiri pusingan kelayakan #LFK2017 dengan menduduki kedudukan ke 4 kumpulan B.
Sarawak
Aksi yang ditunjukkan oleh para pemain kendalian Ahmad Media Sharkawi di pusingan kelayakan#LFK2017 membuktikan bahawa Sarawak mempunyai banyak pemain yang berbakat.
Impian untuk melihat pasukan Sarawak untuk beraksi di #LFK2017 tidak kesampaian apabila mereka hanya menduduki kedudukan ke-4 di kumpulan A.
Kesilapan yang terjadi pada perlawanan pertama memakan diri pasukan ini tatkala mereka hampir pasti memenangi perlawanan tersebut terpaksa akur tewas tipis jaringan 5-4 di saat akhir dengan pasukan KL Petaling Putra FC.
Secara kesuluruhan jika dilihat dari corak permainan yang ditunjukkan para pemain pasukan Sarawak mereka boleh pergi lebih jauh dan tidak mustahil mereka akan kembali musim hadapan dengan pasukan yang lebih kuat.
KL Imigresen FC
Walaupun tidak berjaya mengutip sebarang mata namun pengalaman untuk beraksi di pusingan kelayakan #LFK2017 adalah satu pengalaman yang baik bagi pasukan KL Imigresen FC.
Ini adalah debut pertama buat pasukan ini menyertai pusingan kelayakan LFK.
Walaupun mereka tewas kesemua perlawanan pujian harus diberikan kepada kesemua barisan pemain dan pengurusan kerana semangat tidak mudah berputus asa ditunjukkan oleh mereka.
Tidak lupa juga kepada barisan penyokong yang hadir setiap kali perlawana mereka diadakan.
Tempoh persediaan yang sekejap dan kurang pengalaman bermain di peringkat ini mungkin satu faktor kekurangan pasukan ini tapi pasti jika diberikan masa lagi mereka akan pasti akan kembali dengan lebih bersedia.
Kuantan Rangers FC
Kehadiran pasukan ini menjadi bualan peminat sukan futsal di Malaysia. Pasukan Kuantan Rangers FC adalah kelab baru dari Pahang yang ditubuhkan untuk memberikan cabaran buat pasukan lain.
Hadir ke pusingan kelayakan #LFK2017 dengan barisan pemain yang majoriti adalah rakyat Pahang dan diambil melalui proses pemilihan terbuka yang dilakukan mereka sebelum ini.
Kehadiran beberapa pemain berpengalaman juga untuk membantu pasukan dan memberikan satu semangat kepada kesemua pemain.
Namun rezeki tidak menyebelahi pasukan kendalian bekas pemain kebangsaan Mohammad Faizul Abdul Gaffar untuk layak ke #LFK2017 ini.
Walaupun tidak berjaya layak difahamkan pasukan ini akan meneruskan latihan serta menyertai beberapa kejohanan luar dan akan kembali pada musim akan datang.
Sesuatu kejayaan itu tidak boleh hadir dalam tempoh yang singkat dan pasti dengan tempoh masa yang diberikan pasukan ini bakal menjadi pesaing utama satu hari nanti.
Sumber Foto : FAM
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.