Hajat Skuad Negara “Terbantut”

“Kami mencipta banyak peluang kearah gol lawan namun tiada erti jika gagal menghasilkan jaringan.”

Itulah ungkapan dari Marcelo Serpa berikutan aksi anak buahnya dalam perlawanan semalam. Namun pengendali skuad negara yang berasal dari Brazil itu optimis bahawa anak buahnya tidak akan berputus asa ketika menentang perlawanan penentuan ke-3/4 nanti. ”Aksi menentang Vietnam nanti pasti menjanjikan satu tugasan yang mencabar buat kami,” kata Marcelo Serpa.

Kemaraan skuad negara dalam Kejuaraan Futsal AFF 2015 tersekat di peringkat separuh akhir apabila ditunjukkan jalan keluar oleh Australia yang menempah tiket bagi bertemu juara bertahan, Thailand pada perlawanan akhir esok. Kekalahan 2-6 ditangan skuad bimbingan Rob Varela ini memperlihatkan terdapat beberapa kelemahan ketara yang perlu diperbaiki oleh para pemain dalam usaha memantapkan pasukan bagi menghadapai Kejuaraan Futsal AFC 2016 yang dijangka berlangsung bulan Februari tahun hadapan.

Tempo permainan pantas yang dipamerkan kedua-dua pasukan menambahkan lagi kehangatan perlawanan yang berlangsung di Bangkok Futsal Arena. Para pemain negara sudah memberikan yang terbaik apabila pelbagai variasi serangan dijana bagi menembusi kubu Australia yang dikawal rapi oleh penjaga gol berpengalaman yang berusi 36 tahun, Angelo Konstatinou.

Penjaga gol yang diuar-uarkan oleh Wak sebagai pemain yang perlu diberikan tumpuan selain dari penjaring terbanyak Australia, Daniel Fogarty jelas berada di tahap persembahan terbaik malam semalam apabila berjaya mengekang serangan bertubi-tubi dari para pemain negara yang jelas buntu bagi memecahkan kebuntuan pada separuh masa pertama. Ditambah pula dengan kelincahan Daniel Fogarty yang mencetak 2 gol pada aksi di babak pertama dan satu lagi jaringan melalui Nathan Niski bagi menamatkan aksi di separuh masa pertama dengan Malaysia ketinggalan 0-3.

Keputusan tersebut tidak mematahkan semangat pemain negara apabila berjaya menjaringkan gol melalui Muhammad Akmal Yazadh yang menerima hantaran dari Ahmad Fawzul Hadzir untuk merapatkan kedudukan. Disebalik serangan yang kerap dilancarkan skuad negara, Australia menghukum dengan serangan balas pantas yang sering dilancarkan untuk menambah 3 lagi jaringan dan Saiful Nizam Mohamad Ali menjaringkan gol pada minit-minit akhir perlawanan bagi keputusan penuh Malaysia tewas 2-6 ditangan Australia.

Selain dari serangan balas pantas yang membuahkan hasil dan ketangkasan penjaga gol skuad ”Futsalroos”, Australia juga dilihat kerapkali menggunakan hantaran tepat melalui hantaran lambung yang jelas memerangkap para pemain negara.

Diharapkan pemain dapat segera bangkit dari kekecewaan ini untuk menempatkan Malaysia selaku pasukan ketiga terbaik Asean.

Artikel Oleh : Wak Meor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top