FELDA United muncul juara baharu kategori wanita Liga Futsal Kebangsaan (LFK) 2017 dengan rekod tanpa kalah apabila menewaskan Kuala Lumpur Ally Group 4-2 pada Sirkit 9 (sirkit terakhir) di Arena UPSI, Tanjung Malim, sebentar tadi.
FELDA kendalian Rozmin Musa menamatkan saingan dengan 28 mata menerusi sembilan kemenangan dan sekali seri, manakala Kuala Lumpur yang dibimbing Masri Mohd Jan di tangga kedua (22 mata) selepas tujuh kali menang, sekali seri dan dua tewas.
Perak pula di tangga ketiga (21 mata) selepas membelasah pasukan tangga kelima, Sarawak 9-3. PDRM kekal di tangga keempat dengan lapan mata biarpun sekadar seri 2-2 dengan pasukan tercorot, ATM.
Sementara itu, Melaka yang telah disahkan sebagai juara kategori lelaki ketika menewaskan FELDA United 6-5 semalam gagal mengekalkan rekod tanpa kalah mereka apabila tewas 4-2 kepada Pahang, hari ini.
Skuad bimbingan Mohamad I’sah Abd Rahim itu menamatkan kempen musim ini dengan 43 mata menerusi 14 menang, sekali seri dan sekali tewas.
“Selepas mengesahkan kejuaraan (semalam), saya menurunkan pemain simpanan untuk memberi peluang kepada mereka beraksi,” kata Mohamad I’sah.
Jurulatih itu berkata, misi seterusnya ialah dalam memburu gelaran Kejuaraan Kelab AFF yang berlangsung pada 2 hingga 8 Julai ini.
Juara bertahan kategori lelaki, FELDA United sekadar berpuas hati di tangga kedua dengan 37 mata selepas menewaskan pasukan tangga kelima, Perak 8-2 diikuti Pahang di tangga ketiga dengan 35 mata.
KL City FC pula di tangga keempat dengan 26 mata selepas berjaya mencatat kemenangan tipis 8-7 ke atas pasukan kedua tercorot, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Kuala Lumpur TPD mengakhiri saingan dengan kemenangan besar 10- 1 ke atas pasukan tercorot, KL Petaling Putra untuk menduduki tangga keenam dengan 21 mata.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Naib Presiden FAM, Datuk Rosmadi Ismail selaku Pengerusi Jawatankuasa Futsal & Bola Sepak Pantai FAM.
Turut hadir, Naib Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram; Exco FAM, Superintendan Md Dali Wahid (Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Futsal & Bola Sepak Pantai FAM) dan Exco FAM, Subkhiddin Mohd Salleh.
Artikel oleh : Berita Harian