Ketika nama pasukan MPFL Divisyen 2 musim 2025 diumumkan, tidak ramai yang meletakkan harapan tinggi kepada USMKK FC. Nama ini asing dalam kancah futsal nasional, apatah lagi tanpa nama besar mahupun pemain import.

Namun, hanya selepas tiga perlawanan awal, USMKK FC kini mula dipandang sebagai antara pencabar serius untuk merebut tempat teratas liga. Pasukan dari Kelantan ini berjaya mengumpul maksimum sembilan mata hasil tiga kemenangan berturut-turut, dengan jumlah jaringan tertinggi setakat ini — 19 gol.
USMKK FC mula mencuri perhatian apabila menewaskan Kelantan FT 5-3 dalam aksi sulung mereka. Rentak konsisten diteruskan apabila menang ke atas Kuala Lumpur 2 (5-3), sebelum mengejutkan Pulau Pinang dengan kemenangan besar 9-2 pada Hari Perlawanan 4.
Apa yang membuatkan USMKK FC menarik perhatian ramai bukan sekadar jumlah gol atau kemenangan besar mereka, tetapi cara mereka melakukannya. Mereka beraksi tanpa pemain berprofil tinggi, bergantung sepenuhnya kepada semangat berpasukan, disiplin taktikal, dan serangan pantas yang cukup efektif.

Dari sebuah pasukan yang jarang dibualkan, mereka kini mula mendapat liputan meluas, baik dari kalangan media mahupun komuniti futsal tanah air.
“Kami tidak pernah rasa rendah diri walaupun tidak ramai kenal kami sebelum liga bermula,” kata seorang pemain USMKK FC yang enggan namanya disebut. “Kami datang bukan sekadar untuk sertai liga, tapi untuk menang.”

Kini, selepas tiga aksi cemerlang, USMKK FC sudah mula dipantau rapat lawan-lawan seterusnya. Mereka bukan lagi pasukan biasa, USMKK mula buat pasukan lawan pening