Apa Yang Menarik Dengan Wajah Baharu MPFL 2024?

Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) bakal berubah wajah pada musim 2024 dengan pengenalan format baharu pertandingan iaitu pembahagian kepada dua divisyen bagi menggantikan format sedia ada.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan format baharu itu dalam satu edaran pekeliling terbaru bagi menjemput pasukan-pasukan di Malaysia untuk menyertainya.

Kejohanan yang dijangka akan membuka tirai pada Januari atau Februari depan itu sebelum ini telah dipecahkan kepada dua kumpulan dengan empat pasukan terbaik dari dua kumpulan tersebut layak ke pusingan kalah mati bagi memburu kejuaraan liga.

Musim lalu menyaksikan juara bertahan, Pahang Rangers, Pulau Pinang, Terengganu dan Sabah mara dari Kumpulan A, sementara JDT, Selangor MAC, Selangor TOT United dan Shah Alam City mara dari Kumpulan B.

Pasukan-pasukan ini melengkapkan Divisyen 1 musim depan dan akan turut disertai ATM dan KL City FC yang berada di tangga ke-5 liga musim lalu menjadikan sejumlah 10 pasukan bakal berentap. 10 pasukan tersebut akan bertemu secara ‘home’ dan ‘away’ bagi melengkapkan 18 perlawanan. Pasukan yang mengumpul jumlah mata tertinggi bakal dinobatkan sebagai juara di akhir musim.

Sementara itu, untuk Divisyen 2, format liga adalah dua pusingan tetapi tiada ‘home’ dan ‘away’ seperti di Divisyen 1. Dua sirkit akan dianjurkan dan akan melibatkan lapan pasukan baharu.Dalam kata mudahnya, kita bakal menyaksikan sejumlah pasukan baru yang bakal bersaing di Divisyen 2 dengan format seperti mana MPFL edisi 2022 – perlawanan dilangsungkan secara setempat di lokasi terpilih seperti di Kompleks Sukan Panasonic dan sebagainya.

Ini sangat membantu pasukan-pasukan baru untuk menjimatkan kos pengurusan seperti kos perjalanan dalam usaha membina sokongan buat pasukan mereka sepanjang saingan liga berlangsung. Mereka juga tidak perlu kerap memikirkan soal pengangkutan ke lokasi lawan.

Untuk Divisyen 1 tentunya tarikannya adalah perlawanan di gelanggang sendiri yang dilihat mampu menjana sedikit sebanyak dana buat pasukan. Pasukan seperti JDT pastinya mampu menarik lebih ramai pencinta dunia futsal dan pasukan-pasukan lain perlu memikirkan strategi berkesan untuknya.

Selain itu, 18 perlawanan merupakan sesuatu yang baik dari segi meningkatkan aspek kompetitif liga selain dilihat mampu melahirkan lebih ramai bintang futsal selepas ini. Kita tentunya mahu melihat lebih ramai bintang futsal negara mampu dicipta di saat skuad kebangsaan di bawah kendalian jurulatih baharu.

Terdapat juga khabar angin yang mengatakan bakal ada perubahan kepada syarat pemain import yang mana dikatakan FAM bakal membenarkan penggunaan dua import terbuka berbanding musim ini yang menyaksikan satu import terbuka dan satu Asia.

Apa lagi yang menarik untuk pentas MPFL musim depan?