Aksi Memberangsangkan Di Jepun
On September 8, 2015 by Wak FaizalSiri perlawanan ketiga kunjungan skuad negara ke Jepun diteruskan lagi dengan perlawanan persahabatan kali kedua diantara skuad negara menentang pasukan ranking ke-10 dunia, Jepun.
Aksi yang berlangsung di Beppu Arena, Oita itu dapat memberikan satu aksi dan pengalaman yang berguna buat anak buah Marcelo Serpa dalam perjalanan untuk menghadapi Kejohanan Futsal AFF di Bangkok bulan September nanti.
Terdahulu pasukan negara tewas 2-3 ditangan pasukan profesional liga Jepun iaitu Vasagey Oita pada aksi pertama di negara matahari terbit itu. Walaupun tewas ditangan pasukan kelab namun perlu diingat bahawa liga Jepun dan pembangunan infrastruktur bagi futsal disana adalah di tahap yang terbaik dan Malaysia jauh ketinggalan dari segi itu.
Ditambah pula pasukan mereka turut dibarisi oleh pemain import. Untuk makluman, Vasagey Oita menduduki tempat ketiga dalam saingan Liga Kebangsaan Jepun musim 2013-2014. Ternyata pasukan negara masih mampu untuk menyaingi kehebatan pasukan kelab ini.
Aksi perlawanan menentang Jepun pula, permainan kemas ditampilkan hampir berjaya menjerat pasukan Jepun. Namun, pengalaman serta kualiti yang tinggi yang dimiliki oleh anak buah Manuel Rodrigo itu berjaya menidakkan harapan skuad negara untuk memberikan kejutan terhadap negara samurai itu. Mendahului 4-1 pada babak pertama namun Jepun bingkas untuk kembali bangkit dan akhirnya menewaskan skuad negara.
Disebalik kekalahan yang dialami pada perlawanan tersebut, ianya tidak seharusnya ditangisi oleh para pemain kerana berdasarkan ranking dan juga kekuatan jelas memihak kepada Jepun. Apa yang dibanggakan adalah semangat juang tinggi dan tidak tunduk dengan mudah kepada pasukan hebat itu adalah perkara positif yang perlu mereka kekalkan pada aksi seterusnya.
Mengulas tentang dua perlawanan yang telah dilalui oleh skuad negara, Addie Azwan Zainal yang merupakan penolong jurulatih menyifatkan bahawa pemain telah mengikuti segala perancangan serta taktikal yang telah ditetapkan oleh barisan kejurulatihan.
“Barisan kejurulatihan berpuas hati dengan komitmen semua pemain dan mereka juga tunjukkan yang mereka mampu membuat “setpiece”, bertahan, dan menyerang dengan sangat baik. Tetapi masih ada yang perlu mereka perbetulkan lagi kesilapan semasa perlawanan”, komen Addie Azwan ketika dihubungi wakil Arena Futsal Malaysia.
Mengulas tentang aksi menentang Jepun, Addie turut memuji persembahan anak buahnya dan mengharapkan mereka dapat mengurangkan kesilapan kecil yang akan menyebabkan lawan menghukum skuad negara.
“Untuk perlawanan esok kita harap agar pemain tidak lakukan kesilapan mudah dan seterusnya terus menekan Jepun bagi menghasilkan aksi yang baik”, tambah penolong jurulatih yang pernah beraksi untuk skuad negara satu ketika.
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.