Tag: MPFL

Shah Alam City MPFL 2024

Selangor, Shah Alam City Himpit Pahang Rangers

Tumbangnya Pahang Rangers kepada Selangor memberikan lawannya itu ruang untuk mendekatkan jurang mata apabila hanya dipisahkan dengan satu mata bersama pencabar lain iaitu Shah Alam City, yang mengikat mata yang sama, di kedudukan ketiga dan keempat liga.

Dua aksi minggu ke-8 Divisyen 1, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 berlangsung semalam dengan Selangor dan Shah Alam City berhasil melakar kemenangan. Pastinya kemenangan Selangor adalah keputusan paling menarik tatkala menewaskan Pahang Rangers.

Beraksi di laman sendiri, Selangor menang tipis 6-5 ke atas lawannya itu waima pada satu ketika selesa mendahului aksi 4-0. Sememangnya di luar jangkaan apabila dalam hanya 10 minit, pelawat sudah dibolosi tiga gol menerusi Syahir Iqbal, Well Pereira dan Faris Johan.

Selepas Well Pereira menambah gol ke-4 buat tuan rumah, lawan bangkit menerusi jaringan Felipe de Souza pada minit ke-12 sebelum Murilo Saad menambah satu lagi gol, dua minit berselang. Namun, Selangor tidak memberikan ruang apabila Syahir menambah jurang gol.

De Souza mencetak gol kedua peribadi sebelum pemain baharu Selangor, Gabriel Rosa berhasil meledak gol ke-6 Selangor di minit ke-17.

Kedudukan 6-3 bertahan agak lama sebelum Akmarulnizam Idris memberikan lawan gol ke-4 menerusi gol sendiri pada minit ke-28. Empat minit kemudian, Sufri Shamil menjaringkan gol kelima buat Pahang Rangers, menamatkan sisa kebangkitan mereka dalam perlawanan ini.

Sementara itu, Shah Alam City melakar kemenangan ke-5 di liga apabila mengatasi KL City dengan keputusan 6-3 di halaman sendiri.

Isaias Figueiredo mencetak dua gol bersama Zainal Abidin Hamzah selain masing-masing satu gol oleh Rushdi Husin dan Mulhim Muqri.

Kemenangan yang diraih Selangor dan Shah Alam City membuatkan kedudukan Pahang Rangers kian terhimpit. Adakah mereka dapat bertahan lebih lama di kedudukan kedua liga selepas melepaskan peluang terbaik untuk merapatkan mata dengan pendahulu, JDT.

pato futsal Rosa selangor mpfl 2024

Adakah Ini Ala Terbaru Selangor?

Belum diumumkan secara rasmi, namun maklumat biodata di laman Instagramnya sudah diletakkan sebagai pemain skuad futsal Selangor.

Itulah yang dapat dilihat di Instagram Gabriel Rosa, Ala kelahiran Brazil yang kali terakhir tampil beraksi bersama Lagoa Futsal di Brazil. Mengikut rekod, beliau mula menyarung jersi Lagoa sejak 2023 selepas meninggalkan sebuah lagi kelab di sana iaitu Pato Futsal.

Mengikut rekod, Rosa pernah berkelana ke Portugal untuk bersama dua buah kelab di sana iaitu SC Braga dan Unidos Pinheirense.

Malah, pemain berusia 27 tahun itu juga pernah diundi sebagai Ala terbaik di Liga 2 Brazil ketika bersama Lagoa pada musim 2019.

Jadi, adakah ini pemain baru yang bakal mewarnai skuad futsal Selangor di pusingan kedua nanti? Seperti yang semua sedia maklum, Selangor saat ini hanya memiliki seorang pemain import iaitu Well Pereira selepas Ceara diumumkan meninggalkan pasukan tempohari.

Ceara dikhabarkan dirundung masalah kecederaan berulang dan memilih untuk meninggalkan pasukan kira-kira sebulan yang lalu.

Sebelum ini, dalam satu perkongsian oleh portal futsal Itali, Selangor bakal membawa masuk pemain kebangsaan Georgia, Bruno Petry.

Malah, pemain itu juga sempat berkongsi gambar di hadapan KLCC, seolah-olah memberi petanda realiti perpindahannya ke Selangor.

Jadi, adakah Rosa atau Petry yang bakal menyarung jersi merah kuning? Dengan hanya satu tempat yang ada, siapa yang bakal terpilih?

Joao Gabriel Felipe Sabah MPFL

Joao Gabriel, Felipe Sudah Tinggalkan Sabah?

Dikhabarkan bakal berlaku perubahan kepada barisan pemain import di Sabah apabila kedua-dua import musim ini, Joao Gabriel dan Felipe da Silva dikatakan sudah dilepaskan pasukan. Ini mungkin sedikit sebanyak mengejutkan kerana kedua-dua pemain tampil beraksi baik.

Selalunya, jika prestasi pemain kurang baik, barulah mereka akan digugurkan daripada pasukan, namun di Sabah sebaliknya telah berlaku.

Felipe merupakan pendahulu penjaring gol buat Sabah dengan lapan gol selepas tujuh aksi, sementara Gabriel pula dengan dua gol.

Hampir separuh jaringan pasukan dari Borneo itu dihasilkan oleh kedua-dua pemain ini dengan keseluruhannya berjumlah 27 gol.

Dalam dua aksi terakhir pasukan – menentang Shah Alam City dan Johor Darul Ta’zim (JDT), kedua-dua pemain dilihat kurang terlibat sebagai pemain utama, malah Felipe turut ‘hilang’ ketika aksi penting berdepan Shah Alam City yang menyaksikan mereka tewas 2-6.

Daripada situasi tersebut kita mungkin boleh mengatakan yang mungkin kedua-duanya kurang cergas dan dirundung kecederaan.

Selepas tujuh perlawanan, Sabah sedang berada di tangga kelima dengan sembilan mata, berkongsi mata bersama Gombak TOT. Mereka juga hanya dipisahkan tiga mata daripada Selangor di kedudukan ke-4 dan empat mata dengan Shah Alam City di tangga ke-3, Divisyen 1.

Situasi tanpa kudrat terbaik pemain import mungkin telah memaksa Sabah untuk menukar pemain di jendela pendaftaran pemain kini.

Adakah benar kedua-dua pemain sudah dilepaskan pasukan dan mereka telah bersedia untuk membawa masuk dua import baharu nanti?

Nattawat Luksanato Kedah MPFL 2024 Div 2

Hatrik Nattawat Buat Kedah Nampak Garang

Tujuh gol tak berbalas, itulah keputusan aksi pertama Kedah untuk sirkit pertama Divisyen 2, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024.

Mereka berjaya mengatasi sebuah lagi pasukan yang turut menggunakan dua tenaga import, Nilai City dalam aksi yang berlangsung di Sportizza Setapak, semalam. Kedah menang besar 7-0 dan berada di puncak liga selepas berakhirnya semua perlawanan hari pertama.

Kualiti pivot yang dimiliki Nattawat Luksanato, saudara terdekat kepada penyerang prolifik Thailand, Teerasil Dangda itu dimanfaatkan sepenuhnya Kedah. Hatrik yang dilakarnya membuktikan beliau bukan pemain yang boleh dibiarkan bermaharajalela di dalam gelanggang.

Pada awalnya, ramai menjangkakan perlawanan ini bakal menjadi aksi paling sukar, mungkin melibatkan margin yang kecil, namun sebaliknya berlaku. Waima diperkuatkan dengan dua pemain import, Nilai City tetap gagal memberikan saingan terbaik buat Kedah.

Empat lagi gol Kedah telah dicipta oleh Fauwaz, Muhammad Hakimi, Hafiz Ikhmal dan Eikmal Daniel untuk menjulang Kedah ke puncak.

Hari ini akan berlangsung hari kedua untuk sirkit pertama Divisyen 2 di Sportizza Setapak dan enam lagi perlawanan akan berjalan bermula pada jam 9.00 pagi hingga 8.00 malam. Masuk adalah percuma dan turut dibawakan secara langsung di laman YouTube, JEN TV.

Berikut adalah keputusan hari pertama dan kedudukan pasukan bertanding.

Bruno Petry MPFL Selangor Rumours

KLCC Beri Petanda Bruno Petry Bakal Sertai MPFL

Apabila jendela pendaftaran pemain yang bermula pada 8 Jun dan akan berakhir pada 7 Julai depan bertepatan dengan jadual berakhirnya liga-liga utama dunia, kita mungkin boleh melihat kemasukkan pemain-pemain yang berkualiti ke Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL).

Selepas pemain skuad kebangsaan Brazil, Bruno Taffy dikhabarkan sedang menuju ke Malaysia, kini seorang lagi pemain turut dikaitkan.

Seakan-akan mengesahkan khabar angin dari portal futsal dari Itali, Futsal Now, pemain skuad kebangsaan Georgia, Bruno Petry dilihat bergambar berhadapan dengan KLCC dalam muat naik status terkini di laman Instagram peribadinya, kira-kira dua minggu lalu.

Menurut Futsal Now dalam sebuah laporan pada awal Mei lalu, bekas pemain Pirossigeno Cosenza di Serie A, Itali itu bakal berhijrah ke Malaysia untuk menyertai Selangor. Namun, setakat ini masih belum ada pengumuman rasmi sejak jendela pendaftaran dibuka, 8 Jun lalu.

Dengan perkongsian itu, semua kini tertumpu dalam menanti pengesahan penyertaan pemain yang beraksi di Futsal Euro 2022 itu.

Meledak dua gol di pentas tertinggi Eropah itu, beliau sempat membawa Georgia mara ke suku akhir, sebelum ditundukkan finalis edisi tersebut, Rusia. Berusia 35 tahun dan mencetak 11 gol, beliau telah umumkan persaraan antarabangsanya selepas kejohanan tersebut.

Sementara kariernya untuk kelab pula, beliau pernah beraksi bersama beberapa kelab di liga utama Sepanyol antaranya Ribera Navarra, Jaen Paraiso Interior serta beberapa kelab dari liga utama Brazil seperti Copagril dan Atlantico, sebelum memilih berhijrah ke Itali.

Adakah benar khabar penyertaannya ke Selangor? Ada apa dengan perkongsian gambarnya di depan KLCC, kira-kira dua minggu lalu?

Bruno Taffy Brazil JDT rumours

JDT Ganti Neto Dengan Pemain Bertaraf Piala Dunia?

Skuad futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) sah mengumumkan yang Helio Neto telah meninggalkan pasukan di jendela pendaftaran pemain.

Perkara tersebut diumumkan di laman sosial pasukan semalam dan tentunya telah menarik perhatian para pengikut futsal tanah air.

Menerusi satu surat edaran yang telah dibuat oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sebelum ini, jendela perpindahan atau pendaftaran pemain untuk saingan Divisyen 1, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 sudah pun dibuka sejak 8 Jun yang lalu.

Mungkin ramai yang merasa pelik dengan tindakan JDT melepaskan Neto yang mencetak 14 gol dalam MPFL dan Piala Futsal Malaysia (MFC) musim lalu. Barangkali dengan hanya satu gol selepas tujuh perlawanan, kudratnya tidak lagi diperlukan untuk baki saingan.

Ini kerana, bakal penggantinya merupakan pemain skuad kebangsaan Brazil yang pernah beraksi di Piala Dunia Futsal 2021 dan Copa Amerika Futsal 2022. Waima belum ada pengumuman rasmi tentangnya, tetapi ‘aktiviti’ pemain dari Brazil tersebut mencuri perhatian.

Beliau didapati sudah mula mengikuti laman Instagram skuad bola sepak dan futsal JDT. Ini menjadikan khabar angin ini semakin kencang.

Beliau adalah Bruno Taffy, yang bermain bersama naib juara Primera Division musim lalu – liga utama Sepanyol, ElPozo Murcia.

Sebagai pemain skuad kebangsaan Brazil – pasukan ranking nombor satu dunia, Bruno sememangnya membawa kualiti maha besar buat JDT. Malah pemain berusia 34 tahun itu pernah menjulang beberapa kejuaraan di Sepanyol selain dua trofi UEFA Champions League.

Melihat statistiknya di laman Playmakerstats, beliau konsisten meledak sejumlah gol saban musim bersama beberapa pasukan utama di negara yang disinggahinya, antaranya ketika menyarung jersi Palma Futsal dan Movistar Inter di Sepanyol serta MFK Tyumen di Rusia.

Malah, di laman tersebut turut tercatat yang kelab baharunya ketika ini sebagai JDT. Adakah ini sudah cukup untuk sahkan kehadirannya?

Natthawat Luksanato Kedah MPFL Div 2 2024

Saudara Terdekat Teerasil Dangda Perkasakan Kedah

Kudrat saudara mara kepada penyerang prolifik Thailand, Teerasil Dangda iaitu Natthawat Luksanato ditagih Kedah untuk beraksi di Divisyen 2, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 bersama seorang lagi pemain asal Thailand, Nontawat Rakpitakwong.

Kemasukkan dua pemain itu diumumkan di laman Facebook, Persatuan Bola Sepak Kedah tempohari. Mereka juga sudah diturunkan ketika aksi persahabatan menentang FC5 di Pulau Pinang yang menyaksikan Kedah berjaya meraih kemenangan 4-3 ke atas lawan.

Natthawat juga merupakan bekas pemain skuad kebangsaan Thailand dan pernah membantu mereka meraih kejuaraan AFF 2012.

Bermula dengan bola sepak bersama Teerasil, laluannya sedikit berliku yang kemudian membawanya beralih arah ke sukan futsal.

Beliau dipanggil membarisi skuad kebangsaan yang menjuarai AFF 2012 atas prestasi baiknya bersama Pattaya City, meledak 19 gol.

Menurut biografinya yang digarap di laman Facebook pasukan bola sepak Thailand, War Elephant, beliau pernah beraksi bersama beberapa pasukan antaranya Bangkok City, Bangkok BTS, Surat Thani, Bangkok Glass, Ayutthaya City dan National Telecom FC (CAT).

Selain itu, Natthawat turut pernah melebarkan sayapnya ke Indonesia dan Myanmar apabila menyertai Vamos Mataram dan MIU FC.

Prestasi terbaiknya hadir semula pada musim 2014 ketika menyarung jersi Ayutthaya City apabila meledak 40 gol seterusnya dipanggil menyertai kem skuad kebangsaan. Namun, beliau telah digugurkan untuk skuad yang telah dibawa menyertai kejohanan AFF 2014.

Untuk Nontawat, tidak banyak yang dapat diperolehi mengenainya selain pernah beraksi bersama Terengganu pada musim lalu.

Adakah kedua-dua pemain ini bakal memberi impak terbaik buat Kedah di pentas Divisyen 2 yang akan bermula hujung minggu ini?

Kedah turun berdepan Nilai City pada Sabtu dan Canaan FC pada Ahad. Kedua-dua perlawanan akan berlangsung di Sportizza, Setapak.

MPFL Divisyen 2 Kedah 2024

12 Pasukan Bersaing, Ini Info Terkini MPFL Divisyen 2

Setelah sekian lama kita menanti khabar tentang Divisyen 2, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024, ia akhirnya telah dimuktamadkan.

Pertandingan liga satu pusingan melibatkan 12 pasukan itu bakal akan bermula pada 22 Jun dan dijangka berakhir pada awal Ogos depan.

Ia bakal melibatkan enam sirkit dengan lokasi-lokasi pertandingan masih belum dimuktamadkan dan akan dimaklumkan semula nanti.

Perkara ini telah dijelaskan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada pasukan-pasukan bertanding pada 30 Mei lalu di Wisma FAM menerusi satu taklimat khas. Turut memaklumkan dalam taklimat itu adalah tentang peraturan bagi pertandingan tersebut.

Setiap pasukan bertanding dibenarkan untuk mendaftarkan maksima 25 pemain dengan tiga daripadanya merupakan penjaga gol. Minima sebanyak 14 pemain perlu didaftarkan selain hanya 14 pemain dibenarkan untuk didaftarkan dan dibawa bagi satu-satu perlawanan.

Pasukan juga boleh mendaftar pemain seawal usia 15 tahun dan perlu membawa seorang pemain bawah 20 tahun ke setiap perlawanan.

Selain itu, pasukan di Divisyen 2 juga berpeluang menyertai Piala Futsal Malaysia (MFC) dengan juara dan naib juara akan melalui aksi ‘play off’ menentang dua pasukan tercorot Divisyen 1. Pemenang dua aksi tersebut akan menyertai enam lagi pasukan dari Divisyen 1.

Berikut adalah 12 pasukan yang mengesahkan penyertaan ke Divisyen 2 yang kali pertama dilangsungkan;

  1. Kedah
  2. Pulau Pinang
  3. Kuala Lumpur
  4. Melaka
  5. ATM
  6. Kelantan
  7. PFA Odin
  8. Malaysian Universiti FT
  9. Kelab Sukan Bandar Nilai
  10. Negeri Sembilan United
  11. Canaan FC
  12. Kelab Futsal PJ Champz

Guntur Sulistyo Gombak TOT MPFL 2024

Tak Cukupkah Magis Ciptaan Guntur Buat Gombak TOT?

Ala dari Indonesia, Guntur Sulistyo sudah berikan segalanya pada musim pertamanya, saat menyarung jersi Gombak TOT dalam pusingan pertama Divisyen 1, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024, namun pasukannya itu tampak bergelut untuk mengekalkan konsistensi.

Secara teknikalnya ini musim keduanya setelah bersama pasukan itu untuk dua perlawanan pada musim lalu, ketika di saingan Piala Futsal Malaysia (MFC) 2023. Mereka tewas dan disingkir Pahang Rangers, namun beliau cemerlang meledak tiga gol dalam dua aksi tersebut.

Ketika ini, mereka berada di tangga ke-6 liga apabila hanya melakar tiga kemenangan dan empat kekalahan selepas melalui tujuh aksi.

Adakah Guntur sedang menggalas cabaran besar bersendirian, memimpin ‘unit gempur’ Gombak TOT bersaing dalam liga musim ini?

Berdasarkan prestasinya sehingga kini, beliau merupakan tonggak harapan pengendali, Qusmaini Noor untuk memacu pasukan tersebut.

Dalam tujuh perlawanan yang dilalui, Guntur telah berhasil mencetak sembilan gol – ketiga terbanyak di liga. Malah beliau satu-satunya penjaring empat gol dalam satu perlawanan di pusingan pertama ketika mereka membenam cabaran Sabah dengan keputusan 7-5.

Malah beliau sudah tiga kali diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan ketika mereka berdepan Sabah, Terengganu dan KL City.

Adakah di pusingan kedua nanti mereka masih menagih magisnya dalam setiap perlawanan? Atau mungkin ada pemain lain akan bangkit untuk bersama-samanya memberikan sumbangan terbaik bagi memperbaiki kedudukan pasukan sebelum musim berakhir?

Mungkin juga kita bakal menyaksikan perubahan pemain tatkala jendela pendaftaran kedua pemain yang bakal dibuka pada 8 Jun?

Felipe de Souza Pahang Rangers MPFL 2024

Felipe de Souza ‘Ghaib’ Ketika Pahang Rangers Berpesta Gol

Felipe de Almeida Souza atau Felipe de Souza terlepas peluang terbaik untuk memintas Isaias Figueiredo untuk memimpin carta penjaring terbanyak Divisyen 1, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 waima pasukannya cemerlang berpesta gol mengatasi Terengganu, 10-0.

Sebelum aksi terakhir pusingan pertama, Felipe berada di kedudukan teratas dengan 11 gol telah dipintas oleh pivot Shah Alam City itu apabila Isaias meledak hatrik, membantu pasukannya menang selesa 6-2 ke atas Sabah, seterusnya merekodkan 12 gol keseluruhan.

Felipe yang turun beraksi pada sebelah malam dijangka mudah untuk kembali ke takhta tatkala hanya berdepan cabaran Terengganu.

Benar bagai dikata, Terengganu dibelasah Pahang Rangers 10-0 di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan, namun Felipe gagal mencipta gol.

Saiful Nizam muncul sebagai penjaring hatrik diikuti tiga pemain yang melakar dua gol iaitu Murilo Saad, Harith Na’im dan Sufri Shamil, sementara Akmarulnizam Mohd Idris pula berjaya menyumbang satu gol. 10 gol yang dihasilkan adalah yang tertinggi di liga saat ini.

Sebelum ini, lapan gol adalah yang tertinggi dan telah dilakar oleh Johor Darul Ta’zim (JDT), Pahang Rangers (dua kali), Shah Alam City (dua kali) serta Selangor. Selain itu, Pahang Rangers juga berhasil melakar ‘clean sheets’ pertama mereka musim ini selepas tujuh perlawanan.

Sayangnya, Felipe tidak dapat menyumbang lebih iaitu muncul sebagai pendahulu carta penjaring terbanyak liga di pusingan pertama.

Pahang Rangers berada di tangga kedua selepas berakhirnya pusingan pertama dengan mengumpul 16 mata, lima mata di belakang JDT.