Siapakah Murilo Saad, Pengganti Sergio Jamur Di Pahang Rangers?
On December 31, 2023 by Al-Zaim ArzamanPahang Rangers kekal meletak kepercayaan kepada penyerang kelahiran Brazil dan tampaknya mahu terus bersamba apabila membawa masuk Murilo Saad yang diterbangkan dari Amerika Selatan terus ke Kuantan untuk ‘menari’ di Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024.
Seperti yang dikhabarkan menerusi artikel di Arena Futsal sebelum ini, Pahang Rangers didapati sudah mula mengikuti perkembangan dan profil Instagram pemain tersebut sejak kebelakangan ini, memberi petanda tentang kehadirannya ke skuad juara berganda musim lalu itu.
Dengan reputasinya yang agak baik serta pernah beraksi bersama skuad kebangsaan Brazil, beliau dijangka mampu memberi impak segera selepas pasukan tersebut kehilangan Sergio Jamur yang berhasil mencetak 13 gol dalam 14 penampilan selepas menyertai pasukan.
Difahamkan, pemergian Jamur adalah atas permintaannya sendiri dan pengurusan pasukan memahami haluan baharu yang diinginkannya.
Sebagai pemain yang pernah mewakili negaranya, Murilo sesuai digambarkan sebagai pencetak gol sejati dan memiliki skil berkelas dunia.
Untuk rekod, bersama Brazil, beliau pernah menjulang trofi Copa America Futsal 2011 apabila berjaya menewaskan Argentina 5-1 di final.
Pemain berusia 34 tahun itu baru sahaja dinobatkan sebagai pemain terbaik di final Liga Gaucha de Futsal 2023 bersama Carlos Barbosa. Selain itu, beliau juga pernah beraksi bersama beberapa kelab ternama di Amerika Selatan iaitu Corinthians, Atlantico dan Joinville.
Bersama dua kelab gergasi Amerika Selatan, Corinthians dan Carlos Barbosa, beliau telah mencetak 47 jaringan dalam 137 penampilan.
Menurut kenyataan oleh Carlos Barbosa, pemain tersebut baru sahaja menyambung kontraknya untuk tempoh dua tahun, tetapi akhirnya memilih untuk terbang ke Malaysia selepas menerima tawaran lebih lumayan. Difahamkan, Murilo membayar pampasan untuknya.
Ternyata Murilo suka mengembara dalam mencabar kariernya. Beliau pernah berkelana hingga ke Rusia apabila menyertai KPRF Moskva dan MFC Mytischi. Jadi, barangkali tawaran daripada sebuah kelab di negara asing seperti Malaysia ini telah menarik minatnya.
Ada sesuatu mahu dicapainya tatkala sanggup membayar pampasan kontrak dua tahun dan terbang ke Kuantan bagi musim 2024.
Pahang Rangers bakal memperkenalkan seorang lagi import bagi menggantikan Amin Nasrollah Zadeh yang turut dilepaskan baru-baru ini.
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.