Nilai City Canaan MPFL Div 2

Nilai City Lepas Peluang Pintas ‘Off-Form’ Kedah

Sebelum perlawanan ke-8 bermula, Nilai City SC berpeluang untuk memintas Kedah yang dalam prestasi merundum saat ini. Syaratnya, mereka perlu menang ke atas Canaan FC, sementara Kedah pula perlu tewas kepada Malaysian University pada aksi sebelah malam.

Selain itu, melihatkan prestasi memberangsangkan Nilai City dengan tiga kemenangan berturut-turut, aksi berdepan Canaan tidaklah sulit.

Ini kerana prestasi Canaan dilihat sedikit terumbang-ambing dan tiada konsistensi selepas mengharungi tujuh perlawanan. Peluang yang dimiliki Nilai City ini amatlah besar, namun sebaliknya telah berlaku dalam aksi yang berlangsung di Arena Futsal FAM, pagi tadi.

Mereka tewas 3-4 kepada Canaan dan ia merupakan kekalahan kedua mereka, sesuatu yang tidak dijangka boleh berlaku ke atas mereka.

Diperkuatkan dengan dua pemain import berbanding lawan yang menggunakan 100 peratus pemain tempatan, mereka akhirnya tewas.

Kecemerlangan pendahulu carta penjaring terbanyak Divisyen 2, Ridwan Awaebuesa melakar dua gol langsung tidak membantu mereka.

Sebaliknya Adam Syahmi Rosli muncul wira Canaan apabila mencetak gol kemenangan pada penghujung perlawanan untuk mereka meraih kemenangan ketiga. Selain itu, turut mencipta gol buat mereka adalah Nazri Yunus dengan dua gol dan Shasitharan Thangarajan.

Sementara itu, pada aksi sebelah malamnya, giliran Kedah menggigit jari. Peluang menambah jurang mata gagal disempurnakan tatkala mereka tunduk kepada Malaysian University dengan keputusan mengejutkan, 1-5. Ini merupakan kekalahan terbesar mereka.

Prestasi merundum Kedah memberikan Kelantan ruang yang selesa di puncak apabila mudah mengatasi cabaran PFA Odin Sarawak, 4-2.

Start a Conversation