Kedah Pulau Pinang MPFL Div 2

Nasib Berbeza 2 Pasukan Teratas Divisyen 2

Serba tak kena, Kedah tewas buat kali kedua berturut-turut selepas tunduk kepada Kelantan, kali ini mereka dijinakkan oleh Pulau Pinang.

Dalam sirkit ke-3, perlawanan ke-7, Divisyen 2, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024, yang telah berlangsung hari ini, Pulau Pinang menang 8-4 ke atas pasukan yang menduduki tangga ke-2 liga tersebut, dalam aksi yang berlangsung di Arena Futsal FAM, Kelana Jaya.

Waima mendahului aksi di babak pertama 2-1, Kedah gagal menjelmakan tiga mata penting untuk terus mengekori rapat Kelantan.

Sementara Kelantan pula terus mempamerkan prestasi cemerlang ketika menundukkan Kuala Lumpur 6-1 dalam aksi terakhir perlawanan ke-7. Ia mungkin hasil daripada rangsangan tatkala melihat Kedah tunduk dalam aksi sebelum itu. Mereka kekal berada di takhta liga dengan mengumpul 21 mata, bersama catatan rekod tanpa kalah setakat ini, serta enam mata di depan pencabar terdekat mereka, Kedah.

Kekalahan Kedah menyaksikan mereka mula dirapati Nilai City SC, apabila hanya dibezakan satu mata selepas pasukan tersebut telah mencatatkan kemenangan 5-1 ke atas Melaka dalam aksi yang berlangsung pada sebelah pagi – tiga mata kedua berturut-turut.

Kedah berisiko turun ke kedudukan ketiga selepas ini, jika mereka tewas lagi dengan Nilai City pula melakar kemenangan hatrik.

Apa yang sedang berlaku di kem Kedah saat ini? Selepas melakar rekod yang amat baik dalam lima aksi awal liga dan dilihat sebagai sangat ampuh, mereka tumbang kepada Kelantan dan Pulau Pinang. Adakah mereka berasa terlampau selesa dengan permulaan baik tersebut?

Esok, Kedah akan melayan cabaran pasukan di tangga ke-4, Malaysian University dalam aksi ke-8, Divisyen 2. Apakah hasilnya nanti?

Start a Conversation