Minit Permainan bagi 7 Pemain Muda Yang diborong TFC
On December 14, 2020 by Wak PivotTerengganu Football Club (TFC) dari awal memperlihatkan sedang menyusun atur pemain mereka. Pada awalnya, mereka memberikan kejutan dengan menamatkan kontrak kesemua pemain import mereka yang membantu pasukan layak ke AFC musim hadapan. Namun, beberapa hari ini TFC tampak sangat aktif memperkenalkan pemain-pemain baru mereka yang bakal memperkuatkan Skuad Penyu untuk menghadapi kempen liga Malaysia musim hadapan sekali gus bakal menyaksikan pertaruhan pemain muda dalam kebelasan pasukan mereka di Piala Asia 2021.
- Mohd Faisal Bin Abdul Halim
Faisal Halim yang lebih dikenali ‘Mickey’ telah bersama skuad Tok Gajah selama 5 musim telah menolak beberapa tawaran daripada pasukan lain termasuk pasukan asalnya, Sri Pahang FC apabila lebih berminat untuk sertai skuad Penyu.
Mickey di awal kariernya bersama skuad Piala Belia Pulau Pinang yang kemudiannya diserapkan ke skuad Piala Presiden Pulau Pinang. Prestasi cemerlang yang dipamerkan ketika itu telah memberi peluang dia bersama skuad senior Pulau Pinang dan beraksi di Piala Malaysia 2015 sebelum berpindah ke Pahang FA.
Di TFC, Mickey bakal memakai jersi nombor 7 yang sebelum ini menjadi milik kapten, Lee Tuck yang berhijrah ke Pahang musim depan. Dah macam ‘swap’ pemain tanpa sengaja.
Bagaimanapun, untuk musim ini Mickey telah merekodkan 11 penampilan dalam skuad Tok Gajah dengan 903 minit permainan dan berjaya meledak 2 gol. Sekadar rekod, Mickey pernah beraksi bersama skuad kebangsaan U21, U23 dan skuad senior.
- Mohamad Shahrul Nizam Bin Ros Hasni
Shahrul Nizam lebih mesra disapa Nijey merupakan ubi kelahiran Kelantan. Bakatnya dikesan ketika menyertai skuad Piala Presiden Kelantan pada 2016 dan 2017. Dia mula beraksi bersama skuad senior Kelantan pada 2018. Penampilan bersama pasukan kelahirannya direkodkan sebanyak 38 kali sepanjang 2018 sehingga musim ini.
Pemain di posisi bertahan ini bakal menyarung jersi bernombor 5 bersama TFC. Kenyataannya di akhbar, dia akui corak permainan yang ditunjukkan merupakan tunjuk ajar daripada bekas jurulatih, Yusri Che Lah. Hasil daripada itu, dia dipanggil mewakili skuad kebangsaan U23 tahun lalu.
Bagi musim ini, Nijey telah membuat 10 penampilan bersama Kelantan dengan 900 minit permainan. Rekod lain, dia mengutip 2 kad kuning dan 1 kad merah.
- Nik Akif Syahiran bin Nik Mat
Nik Akif merupakan tonggak utama untuk pasukan Kelantan sebelum ini dikatakan telah menolak beberapa tawaran daripada pasukan lain susulan daripada pembatalan kontraknya bersama pasukan itu. Namun, dia jelas lebih berminat kepada skuad bimbingan jurulatih muda, Nafuzi Zain dilihat corak ‘modern football’ sesuai dengan gaya permainannya.
Ini meruapakan pemindahan professional pertama buat Nik Akif kini berusia 21 tahun. Pemain muda kelahiran Kuala Krai, Kelantan ini memulakan kariernya dalam bola sepak di Sekolah Sukan Bukit Jalil dan Kelantan U21 di tahun 2016 dan 2017. Selepas itu, dia sempat beraksi untuk 2 musim di skuad senior Kelantan.
Pemain yang gemar dengan freekick telah memakai jersi nombor 11 dia TRW kini bakal menyarung jersi bernombor 22 di TFC selaras dengan usia dia tahun depan. Kebetulan pulak. Jangan tidak tahu ya, Nik Akif merupakan tonggak utama pasukan U23 Malaysia. Dia pernah beraksi di U19, U23 dan skuad senior.
Musim ini Nik Akif membuat 11 penampilan dengan 954 minit permainan. Dia berjaya mencatat 2 gol dan mengutip 1 kad kuning.
- Muhamad Arif Bin Mohamed Anwar
Pemain yang bakal melonjak usia 26 tahun ini tidaklah menonjol seperti yang lainnya. Namun, menerusi sepakan akrobatik telah membawa UiTM FC layak ke peringkat suku akhir Piala Malaysia buat kali pertama.
Dengan itu juga, pihak pengurusan TFC dikatakan berminat untuk mendapatkan penyerang pasukan UiTM FC ini. Kehadiran Arif Anwar ke skuad punya bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Muhammad Faris Ramli, bekas pemain import berasal daripada Singapura.
Sebelum ini, Arif Anwar pernah bersama pasukan Harimau Muda, Kuala Lumpur, Petaling Jaya Rangers, kembali semula ke pasukan The City Boy pada tahun 2019 sebelum ke UiTM FC.
Bagaimanapun, Arif Anwar berjaya membuat 8 penampilan dengan 657 minit permainan dan berjaya meledak gol tunggal menerusi sepakan akrobatiknya. Selain itu, dia juga mengutip 4 kad kuning.
- Asnan Bin Ahmad
Pemain baru ke-5 yang diumumkan oleh TFC bakal memperkuatkan barisan pertahanan skuad penyu musim hadapan adalah merupakan kapten pasukan UKM FC.
Untuk tahu details tentang apa yang hebatnya perjalanan pemain yang berusia 27 tahun ini, boleh ke pautan ini.
Rekod menarik sebagai pertahanan, musim ini Asnan membuat 11 penampilan bersama UKM FC dengan 967 minit permainan serta 1 kad kuning.
- Mohamad Hakimi Abdullah
Hakimi Abdullah merupakan pemain muda yang berusia 21 tahun telah beraksi cemerlang bersama skuad TRW. Dia berjaya meledak hatrik ketika kemenangan besar ke atas UKM FC di Stadium Selayang dalam Liga Primier lalu.
Pemain tengah ini pernah beraksi bersama skuad kebangsaan U19 di bawah kendalian jurulatih Croatia, Bojan Hodak.
Musim ini, dia berjaya membantu skuad TRW di tangga ke-6 Liga Perdana 2020 dengan 9 penampilan (3subs) dengan 559 minit permainan. Pemain kaki kidal ini berjaya meledak 3 gol peribadi dan 1 kad kuning.
- Muhammad Azarul Nazarith Bin Azhar
Pemain muda, Azarul Nazarith melengkapkan pemindahan pemain tempatan bagi skuad TFC dalam saingan liga 2021. Dalam kenyataan TFC, bekas pemain Felda United ini pernah mendapat panggilan untuk skuad kebangsaan U22 dibawah kendalian Ong Kim Swee.
Selain itu, TFC dikira bertuah berjaya mendapatkan pemain muda yang kini berusia 22 tahun dilihat tersenarai dikedudukan ke-3 dalam pemain U23 yang mempunyai minit bermain tertinggi di Liga Super musim ini.
Musim ini, penampilannnya bersama Felda United sebanyak 11 kali dengan 936 minit permainan tanpa sebarang jaringan dan kutipan kad.
Penyokong TFC kini nampaknya mula positif dengan kehadiran barisan pemain muda ini. Dengan ini, lengkaplah kuota pemain tempatan TFC untuk musim hadapan. Sekali gus, terjawablah juga desas desus mengatakan Mohamadou Sumareh bakal sertai TFC adalah tidak benar.
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.