
Majlis Menandatangani MOU Sports Planet Demak Kuching Dan Vikings Futsal Sarawak & Wilayah Borneo
On June 10, 2015 by Wak FaizalSejarah telah tercipta pada 8 Mac 2015 di Bumi Kenyalang apabila buat pertama kalinya satu memorandum persefahaman berkaitan sukan futsal telah dimetrai diantara Sports Planet Demak Kuching, operator gelanggang futsal terbaru di Bandaraya Kuching dengan Vikings Futsal Sarawak & Wilayah Borneo, sebuah organisasi gabungan Australian Futsal Associtaion (AFA) bagi menyediakan satu platform alternatif bagi penggiat sukan futsal dalam usaha mempopularkan sukan tersebut di Negeri Sarawak amnya dan di Bandaraya Kuching khasnya.
Memorandum persefahaman tersebut merangkumi penyusunan aktiviti dan pertandingan-pertandingan futsal di peringkat umur dan kategori, kursus-kursus kejurulatihan futsal AFA dan pengadilan futsal VIFA serta penganjuran Liga Futsal Kuching (KFL) – Liga futsal alternatif kompetitif pertama di Bandaraya Kuching yang akan memasuki musim ke-2 pada Mei 2015 nanti.
Sports Planet Demak Kuching dan Vikings Futsal Sarawak Borneo komited dalam usaha mempopularkan sukan futsal yang sering dianggap sebagai “adik” kepada bolasepak namun sebenarnya adalah satu sukan tersendiri yang bukan di kelas kedua selepas bolasepak. Dengan kerjasama ini juga kedua-dua oraganisasi ini akan mengembeling tenaga serta berkongsi kepakaran dalam mewujudkan hala tuju baru sukan futsal di Negeri Sarawak dengan memperkenalkan beberapa siri aktiviti informatif mengenai sukan futsal dan juga melahirkan jurulatih-jurulatih futsal berdasarkan silibus Gol Brasil / Australian Futsal Association serta pengadil-pengadil berkelulusan Vikings International Futsal Associtaion agar lebih banyak program berkaitan futsal dapat diadakan di Bandaraya Kuching dan Negeri Sarawak keseluruhannya.
Liga Futsal Kuching (KFL) musim kedua yang dijadualkan bermula pada Mei 2015 pula merupakan satu pentas alternatif bagi pasukan-pasukan futsal amatur di Bandaraya Kuching bersaing secara profesional dimana pemain-pemain akan dapat menunjukkan bakat masing-masing dalam kejohanan liga kompetitif manakala jurulatih-jurulatih berkelulusan AFA/Vikings Futsal dapat mempraktikkan ilmu kejurulatihan yang diperolehi oleh mereka dan menterjemahkannya di atas padang. Selain itu KFL juga adalah platform bagi pengadil-pengadil VIFA menjalankan tugas mereka dan berlajar mengawal perlawanan disamping meningkatkan mutu pengadilan mereka. Para pengurus pasukan/kelab pula akan diperkenalkan dengan sistem pengurusan pasukan yang tersusun dan efektif agar dapat menbangunkan kelab/pasukan masing masing ke peringkat yang lebih tinggi.
Selain itu kerjasama dengan Australian Futsal Association akan menyaksikan pasukan kebangsaan AFA bawah 12 tahun akan dibawa ke Sarawak untuk berkasi menentang pasukan pasukan bawah 12 tahun tempatan yang terpilih pada bulan Jun dan Disember 2015 serta pasukan bawah 18 pada bulan Januari 2016 nanti. Peluang keemasan ini perlu digunakan sebaiknya oleh pasukan-pasukan tempatan yang terpilih untuk menimba pengalaman bermain dengan pemain-pemain bertaraf antarabangsa nanti.
Pendekatan menyeluruh dalam penganjuran KFL juga menyahut saranan Kementerian Belia & Sukan Malaysia agar lebih banyak organisasi menjadikan sukan sebagai sebuah industri. Sports Planet Kuching dan Vikings Futsal Sarawak & Wilayah Borneo bertekad untuk mengembangkan lagi sukan futsal melalui KFL sebagai sebuah Industri yang bukan sahaja dapat menampung kekosongan dalam komuniti futsal Kuching malah menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka-mereka yang terlibat dalam KFL musim kedua itu nanti.
Diharap dengan adanya kerjasama ini maka diharap sukan futsal di Bandaraya Kuching akan lebih popular dan juga dapat menarik minat golongan remaja serta belia untuk turun serta dalam aktiviti sihat bagi mengelakkan mereka terjebak dengan gejala kurang sihat. Dengan penglibatan golongan muda dan belia maka tidak mustahil sukan futsal Negeri Sarawak amnya dan Bandaraya Kuching khasnya akan mencapai tahap untuk mempu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa tidak lama lagi.
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.