Layakkah Indonesia Bergelar Juara AFF?
On November 15, 2024 by Al-Zaim ArzamanSetelah tiga kali berturut-turut mencuba, Indonesia akhirnya bergelar juara Kejuaraan Futsal AFF untuk edisi 2024.
Dua kali mereka dikecewakan Thailand di pentas final iaitu pada edisi 2019 dan 2022. Tewas 0-5 pada edisi sebelum Covid melanda dunia sehingga kejohanan ini tertunda, mereka hadir ke final lagi pada 2022 dan berjaya membawa Thailand hingga ke penentuan sepakan penalti selepas mengikat perlawanan dengan keputusan 2-2, tetapi tewas 5-3.
Mengapa mereka layak untuk bergelar juara Asean kali ini?
Sebagai pasukan di kedudukan kedua terbaik di Asia Tenggara – di belakang Thailand, sememangnya Indonesia wajar bergelar juara waima Vietnam memiliki pengalaman beraksi dua kali di Piala Dunia.
Selepas 10 edisi, Indonesia belum pernah melangkah ke Piala Dunia. Namun, mereka tetap berada di depan Vietnam ketika ini.
Indonesia ketika ini berada di ranking ke-28 dunia, sementara Vietnam di kedudukan ke-34. Thailand pula unggul di kedudukan ke-11 dunia.
Untuk Asia, Thailand dan Indonesia berada di kedudukan ‘top 5’. Jadi, tak salah mereka ke final. Thailand ada alasan tersendiri tersingkir.
Thailand hanya menghantar skuad kedua untuk kejohanan kali ini selepas merehat hampir keseluruhan skuad yang beraksi hingga ke pusingan 16 terbaik di Piala Dunia pada 14 September hingga 06 Oktober lalu di Uzbekistan.
Waima membawa ‘pilihan kedua’, mara ke separuh akhir sudah cukup menggembirakan pengendali, Miguel Rodrigo.
Selain ranking yang baik, Indonesia telah bersedia awal untuk Piala AFF. Liga mereka berakhir seawal Ogos membolehkan persediaan dilakukan dengan rapi. Menurut sebuah artikel di portal Vocket, untuk persediaan yang berkesan, pasukan wajar diberikan intensiti kurang 30 peratus selepas aksi terakhir liga dalam tempoh dua minggu untuk proses ‘recovery’.
“Namun, itu tidak dilalui oleh skuad negara kerana Rakphol perlu meningkatkan intensiti latihan kerana kesuntukan masa, malah hanya selepas beberapa hari memasuki kem latihan, mereka sudah terbang ke Yogyakarta pula untuk berhadapan skuad Indonesia.”
Ini Lima Langkah Utama Untuk Meningkatkan Prestasi Futsal Malaysia Di Peringkat Antarabangsa | Vocket
Mereka masuk ke kem latihan pusat dan sesi pemilihan selama dua bulan. Dan ia melibatkan seramai 25 pemain, sebelum dikecilkan kepada 20 pemain diikuti 16 pemain ketika bertolak ke Thailand. Mereka terbang ke Thailand dua minggu sebelum kejohanan.
Liga mereka – Indonesia Pro Futsal League juga boleh dikatakan kompetitif. 12 pasukan bertanding, namun, jumlah perlawanan yang dilalui adalah 22 perlawanan dalam tempoh sembilan bulan.
Jika dibandingkan dengan Malaysia, ia hampir dua kali ganda. Malah, ia merupakan liga profesional, bukan semi-pro mahupun amatur.
Oleh itu, memang wajar Indonesia bergelar juara. Dengan kuasa besar – Thailand hanya membariskan pilihan kedua, inilah peluang mereka mengintai gelaran juara untuk kali kedua sepanjang 18 edisi.
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.