Ini Signal Kemunculan Semula Pulau Pinang Ke MPFL
On January 27, 2025 by Al-Zaim ArzamanSelepas menghilang pada edisi 2024, Pulau Pinang tampak bakal kembali ke Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2025 apabila pengendalinya, Hasnizal Hashim seolah-olah memberi petanda mereka akan buat kemunculan semula.
“Kepada pemain-pemain yang berminat untuk menjadi pemain futsal Penang di pertandingan MPFL Div 2 2025 juga boleh hadir di sesi pemilihan pada hari dan waktu yang sama. Terima kasih,” titip Hasnizal di laman Facebooknya. Ini rentetan perkhabaran tentang pasukan Pulau Pinang yang akan membuat pemilihan pemain untuk skuad SUKMA.
Pulau Pinang akan membuat sesi pemilihan pemain berusia bawah 21 tahun untuk skuad SUKMA pada 3 Februari depan di AEI Permatang Rawa. Menurut poster yang dimuat naik FA Penang (FAP), ia akan bermula pada jam 9.00 malam.
Pulau Pinang yang saban musim mempamerkan prestasi memberangsangkan sepatutnya beraksi di Divisyen 1 pada musim lalu, namun dek kerana kekangan dana dan gagal mendapat penajaan daripada mana-mana pihak, mereka akhirnya terpaksa menarik diri. Ia pasti sesuatu yang amat pahit untuk ditelan setelah gigih untuk mencukupkan dana.
Menurut maklumat yang diperolehi, Pulau Pinang sah akan kembali ke MPFL dan beraksi di Divisyen 2 – yang masih menanti pengumuman rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tentang jadual, format dan sebagainya.
Difahamkan mereka akan mengikut jejak juara Divisyen 2 musim lalu, Kelantan, yang mengetengahkan bakat tempatan di dalam skuad mereka. Dan dengan ‘jemputan’ oleh pengendali pasukan kepada yang berminat untuk menyarung jersi Pulau Pinang di MPFL nanti, diharapkan pemain-pemain berbakat dari seluruh Pulau Pinang akan turun padang.
Melihatkan lokasi pemilihan pemain yang akan berlangsung di AEI Permatang Rawa, adakah lokasi tersebut akan menjadi pusat latihan rasmi mereka? Sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi daripada pihak pengurusan.
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.