BorakFutsal: Antara Import Yang Mungkin Bakal Warnai MPFL 2024
On December 20, 2023 by Al-Zaim ArzamanNampaknya persediaan pasukan-pasukan yang bakal menyertai Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) dilihat semakin rancak. Terdapat pasukan yang sudah mengumumkan muka-muka baharu dan ada juga yang sepi tanpa khabar. Ini antara khabar angin yang bertiup.
Mantan Import Shah Alam City kekal di MPFL
Al-kisahnya, bekas peledak sensasi Shah Alam City, Well Pereira dikhabarkan akan kekal beraksi di MPFL musim depan waima sudah dilepaskan. Meledak 15 gol di saingan liga dan empat gol di Piala Futsal Malaysia (MFC), kelibatnya dikatakan sedang dipantau rapat.
Guntur Sulistyo bakal kembali ke Malaysia
Pemain skuad kebangsaan Indonesia, Guntur Sulistyo akan kembali ke Malaysia untuk saingan MPFL musim depan selepas menyertai TOT United selama sebulan untuk MFC 2023. Beliau berhasil meledak tiga gol dalam dua penampilan. Ke mana pula destinasinya kali ini?
Duo skuad kebangsaan Paraguay yang hampir tiba
Sebuah pasukan di Lembah Klang dikatakan cuba menerbangkan duo skuad kebangsaan Paraguay pada awalnya, namun percubaan tersebut gagal atas permintaan pengendali skuad kebangsaan mereka. Dikhabarkan dua pemain kelahiran Brazil bakal jadi pengganti.
Pemain terbaik final Liga Gaucha de Futsal dipantau?
Seorang penyerang kelab elit Amerika Selatan mungkin bakal terbang dari Brazil untuk menyertai sebuah pasukan elit MPFL apabila profil Instagramnya sudah mula diikuti oleh akaun pasukan tersebut. Beliau muncul sebagai pemain terbaik di final Liga Gaucha de Futsal 2023.
Bekas pemain kelab gergasi Liga Futsal Sepanyol ke JDT
Sehingga kini, JDT belum mengumumkan pemain import untuk musim depan, namun menurut khabar angin yang dikongsi oleh Flash Sukan, mereka dijangka akan membawa masuk pemain yang pernah beraksi di Liga Futsal Sepanyol dan skuad kebangsaan negaranya.
Kombinasi Asia Timur & Asia Selatan di Lembah Klang
Pemain yang beraksi di Liga Futsal Korea dan Afghanistan akan diterbangkan oleh pasukan dari Lembah Klang. Untuk pemain dari Korea Selatan itu, pasukannya kini pendahulu liga. Pemain dari Afghanistan pula pernah bermain bersama skuad remaja bola sepak negaranya.
Ke mana hala tuju Albenis Garcia?
Pemain yang bermain di Liga Futsal Argentina musim lalu ini dikhabarkan berada dalam radar sebuah pasukan MPFL untuk didaftar pada saingan musim hadapan. Beraksi di posisi Ala, Garcia berhasil mencetak tujuh gol dalam 11 penampilannya bersama kelab Hebraica.
Kenapa masih belum ada pengumuman pemain import?
Mengapa semua pasukan masih ragu-ragu untuk mengumumkan pemain import mereka? Terang bak bulan, masih belum ada pekeliling daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai slot untuk pemain import yang dikhabarkan akan berubah musim depan.
Disebabkan itu, rata-rata pasukan dilihat cuba memancing dan membawa masuk berdasarkan kouta baharu yang belum diumumkan.
Jadi, segalanya masih samar-samar walaupun sudah terdapat ura-ura mengenai perubahan slot apabila FAM dikatakan akan membenarkan penggunaan dua pemain import terbuka berbanding musim ini yang menyaksikan satu import terbuka dan satu dari Asia, setiap pasukan.
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.