
Aksi Menarik Belum Cukup Untuk Tumbangkan Australia
On February 12, 2016 by Wak GoleiroImpian untuk memperolehi mata penuh dalam aksi pertama saingan kumpulan D Kejuaraan Futsal AFC 2016 Uzbekistan berkecai buat skuad negara apabila prestasi menarik yang dipamerkan masih belum cukup untuk menewaskan lawan ”serantau”, Australia. Tunduk 1-2 kepada pasukan bimbingan Rob Varela itu meletakkan situasi skuad negara di laluan yang sukar apabila bakal berdepan juara bertahan, Jepun esok.
Segalanya tampak berada dilandasan yang tepat apabila 2 percubaan menarik dari Akmarulnzam Idris berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan Australia yang kini berada di ranking ke-23 dunia. Selapas itu kedua-dua pasukan terus mempamerkan mutu permainan bermutu dengan saling berbalas – balas serangan yang ternyata memukau para penonton yang hadir.
Seperti yang seringkali dinyatakan apabila bertemu Australia adalah ketangkasan penjaga gol mereka iaitu Angelo Konstantinou yang seringkali menjadi penghalang kepada harapan skuad negara untuk menghasilkan jaringan. Mempunyai susuk tubuh yang besar dan bijak membaca pergerakan bola menjadi aset utama kepada beliau dalam usaha menggagalkan setiap percubaan skuad negara.
Setelah percubaan demi percubaan dijana skuad negara akhirnya Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin yang mendapat hantaran hasil serangan balas pantas dari Fitri Muhammad Yatim berjaya memperdaya Konstantinou bagi jaringan pendahuluan seminit sebelum tamat separuh masa pertama.
Masuk babak kedua Australia memperkemaskan aksi bagi menghasilkan 2 jaringan pantas hasil dari kelekaan pemain negara bagi menutip kelebihan satu jaringan yang dimiliki anak buah Marcelo Serpa pada babak pertama. Tersentak apabila ketinggalan skuad negara terus menekan lawan namun semuanya menemui jalan buntu apabila Australia terus bertahan sehingga tamat perlawanan bagi menghampakan harapan skuad negara.
Jurulatih skuad negara, Marcelo Serpa Coelho berpuas hati dengan prestasi anak buahnya dalam aksi sulung ini. ”Saya berbangga dengan para pemain saya, kami hadir pada perlawanan ini bukan hanya untuk bertahan dan kami memberikan aksi menarik kepada para peminat”. Ujar jurulatih berpengalaman dari Brazil tersebut.
Aksi di Stadium Uzbekistan semalam seharusnya wajar dipuji dan dapat dilihat rata – rata peminat futsal negara di tanah air menghargai semangat serta memuji aksi yang ditampilkan oleh Firdaus Razali dan rakan – rakan. Semoga mereka bangkit dari kekalahan semalam dan memandang perlawanan menentang Jepun nanti dengan lebih disiplin. Tiada yang mustahil untuk dicipta.
Kredit Foto : AFC
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.