Apa Yang Cuba Disampaikan Oleh Coach Hamee?
On November 6, 2024 by Al-Zaim ArzamanKekalahan demi kekalahan kepada pasukan se-Asean menyerlahkan lagi ketempangan skuad negara.
Terbaru, Malaysia tunduk 1-3 kepada Thailand – waima pasukan tersebut hanya membariskan ‘pilihan kedua’ dalam Kejuaraan Futsal AFF 2024. Angan-angan mahu melangkah jauh, terpadam terus.
Malaysia memilih laluan berliku tatkala tewas 0-2 kepada Vietnam dalam aksi kedua Kumpulan A, pada 04 November lalu. Adakah pasukan seperti Vietnam juga semakin sukar untuk kita tandingi? Jika dilihat, sejak tahun 2019, Malaysia semakin sukar untuk menewaskan Vietnam, malah pasukan tersebut berpengalaman beraksi di pentas Piala Dunia dengan kali terakhir pada edisi 2021 di Lithuania.
Malaysia pula sudah hampir tiga dekad tidak merasai suasana beraksi di pentas Piala Dunia.
Sebelum tewas kepada Vietnam yang berada di ranking ke-34 dunia, Malaysia juga tewas kepada Indonesia yang menghuni tangga ke-28 dunia, dalam aksi persahabatan sebelum kejohanan.
Malaysia kini berada di tangga ke-81 dunia. Di Asia Tenggara, skuad negara berada di belakang Thailand, Indonesia, Vietnam, Myanmar dan Laos. Di atas kertas, realiti yang perlu dihadam, skuad negara masih terkebelakang, namun dilihat masih mampu memberi saingan dan tentangan sengit.
Tewasnya skuad kendalian Rakphol Sainetngam kepada Indonesia dan Vietnam, sememangnya sudah boleh dijangka, dengan kualiti pasukan dan pemain yang ada pada kedua-dua pasukan tersebut.
Begitupun, kekalahan kepada ‘pilihan kedua’ Thailand pastinya sedikit menimbulkan persoalan.
Adakah lawan se-Asean – waima skuad kedua, terlalu ampuh nak dibanding dengan skuad negara?
Walaupun tewas, seperti dalam aksi menentang Vietnam, Malaysia mampu membuat lawan rasa tergugat. Tidak mudah sebenarnya untuk lawan merakam kemenangan dalam aksi tersebut.
Bak kata Rakphol Sainetngam selepas melihat anak didiknya tewas kepada Thailand, “Pemain kita beraksi baik dan (kalah) bermaruah. Walaupun kita tewas, tapi cara pemainan dan taktik yang dipamerkan pemain adalah baik. Namun, saya akui, kita ada melakukan kesilapan-kesilapan kecil.“
Ada satu isu penting yang diutarakan pengendali kelahiran Thailand itu dalam sidang media tersebut.
“Perlu diakui, tahap kita masih di peringkat Asean. Selepas ini, kita perlu merangka dan melakukan segala tentang futsal dengan lebih serius. Jika kita berterusan seperti sekarang, kita takkan mampu meningkat,” ungkapnya selepas melihat impiannya ke final berkubur di peringkat kumpulan.
Perkara pertama pastinya tentang kualiti liga futsal negara ketika ini. Ini perlu diberikan perhatian oleh pengendali liga agar pemain yang lahir daripadanya berkualiti dan mampu beraksi di tahap tertinggi.
Adakah apa yang ditawarkan oleh liga kita saat ini menepati tahap yang ditawarkan seperti liga luar?
Daripada segi permainan, Malaysia boleh bermain, namun daripada segi kekuatan mental, mungkin ia tidak sekukuh mana. Ini jelas apabila kita mampu membelasah lawan seperti Brunei, tetapi tewas kepada tiga pasukan tersebut. Tahap tekanan perlawanan seakan memberi impak kepada pemain.
Seperti yang disampaikan oleh Coach Hamee, pemain beraksi baik. Tetapi, dihantui satu masalah.
Pemain seperti Syahir Iqbal Khan yang meledak enam gol dalam kelayakan Piala Asia tahun lalu, tiba-tiba mati akal saat berdepan aksi yang berintensiti tinggi. Malaysia mampu menyerang – kita dapat lihat, tetapi penyudah mengecewakan. Adakah tekanan perlawanan menghakis kualiti penyudah?
Kembali kepada kualiti liga, mungkin apa yang disediakan di liga ketika ini, tidak membentuk aspek-aspek sebegini di dalam diri pemain. Tahap intensiti dan mentaliti pemain ketika beraksi di liga tempatan belum mencapai ke tahap yang tertinggi. Jadi apabila dipaksa beraksi dengan tekanan tinggi, segalanya rapuh. Deretan penyudah yang tumpul dijamu kepada goleiro pasukan lawan.
Mungkin semua yang terlibat dalam arena futsal tanah air perlu duduk semeja bersama Coach Hamee dan memahami apa yang dimahukan olehnya. Membatu dan kekal seperti yang ada sekarang atau berubah menjadi lebih serius serta berganding bahu dalam meningkatkan mutu futsal negara?
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.