Keluarga Perangsang Buat Atiqa
On August 31, 2015 by Wak FaizalBeliau merupakan seorang pemain muda berbakat dimana mampu bermain di pelbagai posisi. Pemain yang dimaksudkan ialah Nurul Atiqa Binti Zaifulizan. Anak gadis berusia 19 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur merupakan penuntut di Universiti Malaya (UM) di dalam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan.
Penglibatannya dalam sukan futsal seawal usia 13 tahun apabila beliau menyertai pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tahun 2009. Beraksi di kejohanan tertinggi pada usia yang muda memberikan lonjakan semangat buat beliau apabila terus melakarkan pencapaian terbaik peribadi apabila menyertai Selangor pada tahun 2011. Setelah 2 tahun menabur kudrat bersama Selangor, Atiqa berhijrah ke Felda United dan kekal hingga ke musim 2015. Penghijrahan ke Felda United telah memberikan tugasan baru buat Atiqa apabila bertukar ke posisi penjaga gol.
Lahir pada 13 September 1996, beliau mendapat sokongan penuh dari ibu bapa dan keluarga yang begitu memberikan galakan untuk terus mengembangkan bakat dalam futsal. Mereka juga tidak putus-putus dalam memberikan galakan serta dorongan dan juga tidak pernah terlepas untuk memberikan sokongan setiap kali beliau beraksi tanpa mengira dimana lokasi pertandingan.
Jurulatih beliau, Azlizan yang lebih mesra dengan panggilan ”Coach Ej” turut menjadi pemangkin kepada semangat Atiqa apabila jurulatihnya itu seringkali memberikan sokongan untuk beliau terus bangkit bagi menjadi seorang pemain yang lebih baik.
Pada tahun 2013, pasukan Felda United telah mewakili Malaysia untuk kejohanan ” World Women’s Futsal Tournament’ di Sepanyol. Itu merupakan kenangan terindah buat Atiqa sepanjang pembabitannya dalam sukan ini. ” Walaupun kami tewas menentang pasukan-pasukan gergasi futsal dunia, namun mendapat pengalaman yang tak ternilai dan juga dapat mengenali pemain-pemain serta pasukan terbaik dalam dunia futsal”, jelas beliau.
” Kejayaan pasukan Felda United layak ke pusingan ”Grand Final” turut menjadi kenangan yang indah walaupun gagal menjuarai piala tersebut namun perjuangan serta semangat melawan yang ditunjukkan setiap pemain seiring dengan gelaran pasukan kami yang digelar The Fighters”, tambah Atiqa lagi.
Mengulas mengenai pembabitan beliau dalam sukan futsal di UM, Atiqa kurang beraksi di posisi penjaga gol. Kebolehan bermain di pelbagai posisi memberikan kelebihan kepada beliau dan ianya memudahkan jurulatih untuk merangka strategi khas untuk meletakkan beliau di mana-mana posisi.” Semasa Liga Grand Final IPT tahun 2014, saya telah dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik dan telah membantu pasukan saya meraih kejuaraan Kejohanan IPT 2014. Tetapi itulah kali terakhir saya mendapat gelaran itu apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menetapkan peraturan pemain yang bermain di Liga Futsal Kebangsaan tidak dibenarkan untuk beraksi di Liga IPT”.
Atiqa yang sangat mengagumi kehebatan penjaga gol wanita Brazil, Jozi Oliveira dan Coach Ej mengharapkan agar sukan futsal wanita di Malaysia dapat melahirkan barisan pemain pelapis yang mempunyai mental dan fizikal yang kuat untuk meneruskan kejayaan pasukan Malaysia di peringkat antarabangsa supaya skuad futsal Malaysia akan terus maju dan meningkat dari semasa ke semasa sehingga ke persada dunia.
Pada usia yang masih muda, Arena Futsal Malaysia (AFM) mengharapkan agar Atiqa dapat terus memberikan yang terbaik dan dapat membimbing rakan sebaya dengan beliau untuk melahirkan lebih ramai pelapis demi merealisasikan impian yang terbuku di hati Nurul Atiqa Binti Zaifulizan.
Semoga berjaya Atiqa.
Artikel Oleh : Meor AFM
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.