Usaha Pengurusan Annur Young Boys Membanggakan
On December 23, 2015 by Wak GoleiroPasukan yang berpengkalan di Manjung, Perak iaitu Annur Young Boys atau lebih dikenali sebagai AYB telah membuat satu anjakan paradigma buat setiap pemain mereka apabila berjaya mengadakan Kem Latihan Pusat dan Jati Diri AYB 2015 pada minggu lalu.
Program yang dijalankan selama 4 hari 3 malam ini sedikit sebanyak berjaya memberikan pendedahan serta menambah pengetahuan para pemain untuk mempersiapkan diri selaku pemain yang baik serta pemantapan sahsiah dan jati diri seorang muslim.
Jurulatih berpengalaman luas dalam arena futsal, Qusmaini Noor Rusli sudi meluangkan masa bagi berkongsi pengetahuan serta mengadakan sesi latihan kepada bakat – bakat masa depan futsal negara ini.
Antara intipati yang terdapat dalam pengisian program ini antaranya adalah sesi latihan yang dikendalikan sendiri oleh Encik Qusmaini Noor Rosli yang mengetengahkan aspek seperti gerakan dengan satu sentuhan, serangan dengan dua sentuhan serta beberapa variasi taktikal yang dapat diterapkan oleh para pemain ketika beraksi dan banyak lagi yang dikongsi oleh jurulatih futsal Melaka United tersebut.
Para pemain turut diberikan peluang untuk mempraktikkan apa yang diajarkan apabila perlawanan latihan turut diadakan dan berpeluang melihat video aksi pasukan luar yang mempraktikkan apa yang telah diberikan selama sesi latihan tersebut.
Selain itu, para pemain muda ini turut diberikan pengisian nurani apabila usrah bersama imam muda dan juga qiammulail turut diselitkan pada program tersebut.
Program ini sewajarnya dicontohi oleh banyak pihak kerana disamping dapat memberikan motivasi tambahan kepada para pemain untuk terus maju dalam sukan futsal, ianya dapat meningkatkan jati diri buat anak- anak kecil ini untuk menjadi seorang pejuang yang berjiwa besar di lapangan yang mereka harungi pada hari mendatang. Pengisian yang seimbang turut merupakan antara sebab mengapa usaha ini wajar mendapat pujian serta sokongan penuh banyak pihak.
Tahniah Annur Young Boys.
You may also like
Kalendar Liga Amatur
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.