Adam Nadzmi bakal ikut jejak Celine Chuang ke Eropah?

Baru-baru ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ada berkongsi tentang pemain remaja wanita negara, Celine Chuang yang mencipta sejarah apabila menjadi pemain wanita pertama bermain bersama pasukan Bayern Munich B-17 di Jerman.

Kejayaan Celine ini adalah bermula daripada keputusan dia untuk menjalani latihan bersama BISP Cruzeiro Football Academy di Phuket dan masuk ke Sekolah Antarabangsa British Phuket (BISP).

Selepas 2 tahun bersama akademi ini di Thailand, dia mencuba nasib sertai sesi percubaan bersama Bayern Munich Februari lepas dan akhirnya tersenarai dalam 10 pemain baru Bayern Munich B-17 Wanita untuk musim 2020/2021.

Ini telah membuktikan BISP Cruzeiro Football Academy berjaya membantu perjalanan Celine Chuang dalam mencapai cita-citanya untuk menjadi pemain yang baik.

Selepas Celine Chuang mungkin selepas ini giliran Adam Nadzmi Zamri bakal ke eropah? Seorang lagi pemain remaja negara yang turut menjalani latihan bersama BISP Cruzeiro Football Academy ini.

Perjalanan Adam di akademi ini bermula April tahun lepas selepas dia menerima menerima biasiawa sukan Sekolah Antarabangsa British Phuket (BISP) sebanyak RM 120,000 setahun dan dalam masa akan menjalani latihan bola sepak bersama BISP Cruzeiro Football Academy di bawah program Program High Performance Team.

Ikut perancangan akademi ini, Adam akan berlatih di Thailand selama dua tahun sebelum diberi pilihan untuk meneruskan latihan di Eropah ataupun Amerika Syarikat selama empat tahun.

Jika semua berjalan lancar Adam akan meneruskan kariernya di luar nanti. Semoga berjaya dan kami tak sabar untuk melihat perjalanan karier penyerang muda daripada Pulau Pinang ini.