Aksi Kategori Wanita Kembali Minggu Ini

Setelah ketiadaan perlawanan kategori wanita pada minggu lepas, aksi mereka kembali pada minggu dimana pasukan ATM akan menentang Perak di perlawanan pertama esok.

Jika dilihat aksi di kategori wanita masih seimbang dan terlalu awal untuk memberikan komen terhadap kesemua pasukan. Setiap pasukan masih mencari sentuhan dan rentak kemenangan memandangkan setahun ketiadaan liga buat mereka.

Namun jika melihat atas kertas pasukan Felda United antara pasukan pilihan untuk menjuarai musim ini berikutan pemain-pemain berpengalaman yang mereka ada. Malah 12 pemain pasukan Felda United telah dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat pasukan futsal wanita kebangsaan yang akan bermula pada isnin hadapan.

Bagaimanapun perjalanan liga masih panjang dan cabaran pasukan lain tidak boleh diketepikan. Pasukan Perak, ATM,Sarawak, Kuala Lumpur serta PDRM masih berpeluang untuk merebut kejuaraan bagi kategori wanita ini.

Semoga berjaya buat kesemua pasukan wanita.

Start a Conversation