Kedah Kelantan MPFL Div 2

Kelantan Buktikan Kedah Boleh Dijinakkan

Kedah melepaskan takhta yang dipegang selama lima perlawanan apabila tewas kepada pencabar terdekatnya, Kelantan, baru-baru ini.

Saat semua pemerhati melihat Kedah cukup ampuh dan sukar untuk dijinakkan selepas melalui lima perlawanan tanpa kalah, Kelantan muncul sebagai pasukan pertama menewaskan mereka seterusnya mengambil alih takhta Divisyen 2, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024. Ini pastinya satu kejutan diluar jangkaan dan Kelantan muncul satu-satunya pasukan belum tewas selepas enam perlawanan.

Kedah hadir dengan 27 gol selepas lima aksi, menang besar 7-0 ke atas Nilai City, Canaan (5-1) dan Melaka (7-3) selain menang 4-1 ke atas PJ Champz dan 4-2 ke atas PFA Odin Sarawak. Malah, pivot dari Thailand, Nattawat Luksanato juga tampak sangat tajam di depan gol.

Sementara Kelantan pula hanya kurang empat gol daripada mereka – menang ke atas ATM dengan keputusan 4-1, Pulau Pinang (6-2), Negeri Sembilan United (6-5), Melaka (3-2) dan PJ Champz (4-2). Keputusan yang agak biasa-biasa dan tidaklah nampak terlalu dominan.

Dan mereka juga melakar keputusan tipis, menang 5-4 ke atas Kedah yang memiliki beberapa rekod keputusan yang lebih mengujakan.

Selain itu, mereka merupakan pasukan pertama berhasil mencetak lima gol ke gawang Kedah yang baru dibolosi tujuh gol dalam lima aksi.

Menariknya, Kelantan melakukannya tanpa menggunakan pemain import, 100 peratus pemain tempatan dan majoritinya pemain muda.

Mereka memiliki tiga pemain berusia lebih 30 tahun, tujuh pemain di antara usia 25 hingga 28 tahun serta 11 pemain bawah 23 tahun.

Untuk sirkit ketiga nanti, adakah Kelantan mampu mengekalkan rentak baik mereka atau Kedah akan kembali memintas? Ini perlawanan melibatkan kedua-dua pasukan pada sirkit berikutnya yang berlangsung pada 20 dan 21 Julai depan di Arena Futsal FAM, Kelana Jaya.

  • Kelantan vs Kuala Lumpur, Kelantan vs PFA Odin Sarawak
  • Kedah vs Pulau Pinang, Kedah vs Malaysian University

Start a Conversation