UiTM Teruskan Rentak Kemenangan Di Liga Futsal IPT

Selaku juara bertahan, pasukan UiTM menjadi tumpuan sekali lagi di Liga Futsal IPT musim ini. Mereka berjaya memulakan kempen musim ini dengan langkah kanan apabila berjaya mengutip 9 mata penuh di fasa 1.

Namun kemenangan mereka tidak datang dengan mudah apabila pasukan UiTM terpaksa bermain dengan 10 orang sahaja di fasa 1 ini. Menurut kapten UiTM, Zharil Izad Ruslan seperti musim sebelum ini pasukan ini hanya mendaftar 14 orang pemain sahaja.

Bagi fasa 1 ini, 3 pemain tidak dapat sertai mereka iaitu Ainol Rafieq, Raziman yang kini berada di Indonesia bersama pasukan KPT-IIUM Mustang dan juga Nazreen yang berada di dalam kem futsal negara.

Mereka terpaksa bermain 10 orang pada perlawanan pertama kerana seorang pemain mengalami kecederaan. Namun disebabkan pengalaman dan kesefahaman pemain-pemain mereka berjaya mencatat kemenangan tipis ke atas pasukan UniKL 3-2.

Dua lagi perlawanan mereka berjaya menewaskan pasukan UPSI 5-2 dan juga UNITEN Putrajaya 6-5.

"Alhamdulillah kami berjaya mendapat 9 mata penuh. Selepas ini kami berharap pasukan kami akan lebih bersedia dan mantap dengan full squad untuk fasa kedua nanti" Zharil Izad Ruslan.

UiTM menamatkan fasa 1 Liga Futsal IPT ini di kedudukan kedua dibelakang Politeknik Malaysia yang turut mengutip 9 mata penuh namun dibezakan menerusi jumlah jaringan.