Ubah Mentaliti, Mindset, Futsal Bukan Lagi Sukan Picisan

Tempoh setahun yang berlalu boleh dikatakan sebagai fasa transformasi yang cukup besar buat arena futsal negara.

Pelbagai coretan menarik dan bersejarah dilakar terutamanya membabitkan pasukan kebangsaan apabila mereka muncul pemenang pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, mara ke final Kejuaraan AFF di Vietnam dan mengesahkan tempat di Kejuaraan AFC 2018 secara merit.

Malaysia juga mendaki 25 anak tangga secara keseluruhan dalam kedudukan ranking dunia untuk berada di tangga ke-51 – yang terbaik dalam sejarah futsal negara – dan terbaru jurulatih skuad kebangsaan Chiew Chun Yong disenaraikan sebagai calon jurulatih futsal kebangsaan terbaik dunia.

Malah arena futsal tanah air dirancakkan dengan kehadiran pemain terkemuka dunia Rico Zulkarnain untuk mewakili pasukan futsal elit dari Pahang, Kuantan Rangers FC seterusnya membantu pasukan itu mencipta sejarah sebagai kelab pertama dari Malaysia menjuarai liga futsal di luar negara dengan menjuarai Liga Futsal Brunei.

Ini satu pengiktirafan besar buat futsal tanah air, membuktikan sukan ini tidak lagi boleh dipandang sebelah mata. Namun, cukup sayang untuk sebuah sukan yang sudah sekian lama malah semakin menjadi kegilaan penyokong, tiada satu pertandingan pun yang boleh membangkitkan keghairahan.

Liga Futsal Kebangsaan (LFK) yang dianjurkan ketika ini sekadar berbentuk karnival dan dilihat tidak lebih dari mahu cukupkan kalendar semata-mata, dibuat ‘asalkan ada’ justeru Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) digesa menyuntik nilai tambah atau elemen penting kepada penganjuran LFK untuk menjadikannya sebagai satu pertandingan yang lebih meriah.

Naib Presiden Kuantan Rangers, YM Tengku Dato’ Aidy Indera Ahmad Shah Tengku Kamil Ismail berkata usaha untuk meneruskan pertandingan ini walaupun pernah dihentikan pada 2016 kerana masalah kewangan membuktikan FAM serius mahu membangunkan futsal, namun beliau berpendapat ianya perlu diperkasakan lagi.

“Kalau dianjurkan tetapi nampak macam tiada, maksudnya ia tidak meriah, itu namanya buat asalkan ada. Liputan kurang, publisiti kurang, dibuat macam kejohanan peringkat sekolah. Kadang-kadang kita boleh lihat ‘liga haram’ lebih mendapat perhatian.

“Jadi ini yang kita harap akan dapat diubah, mengambil langkah menjadikannya sebagai satu pertandingan yang ditunggu-tunggu para peminat.

“Ia (LFK) perlu distruktur semula, format dan sistem pertandingan ketika ini adalah tidak betul. LFK perlu dijadikan sebagai pertandingan liga professional yang berlangsung sepanjang tahun sepertimana Liga Super dan Premier dalam bolasepak.

“Perlu ada blueprint, program pembangunan, visi dan sasaran jangka panjang seterusnya menarik lebih banyak pasukan, lebih ramai penonton, ada on-season, off season, pre-season, perbanyakkan aktiviti promosi. Secara tidak langsung ini akan membantu perkembangan sukan itu sendiri,” katanya.

Untuk rekod, LFK merupakan kejohanan tahunan dianjurkan sejak 2004 dan formatnya telah beberapa kali berubah sejak itu - dari sebuah pertandingan yang mempunyai beberapa divisyen dan pernah membabitkan lebih dari 30 pasukan pada satu ketika, ia dihentikan pada 2016 manakala tahun 2017 menyaksikan LFK berlangsung membabitkan hanya sembilan pasukan sahaja setelah Sabah membuat keputusan menarik diri.

Tambah Tengku Aidy lagi, “Kita perlu mengangkat futsal menjadi seperti bolasepak, ia digilai kerana ia sukan popular di seluruh dunia. Satu-satunya cara adalah merubah mentaliti dan mindset, perbanyakkan akademi di sekolah. Sekolah sudah ada badminton, bolasepak, taekwondo, karate, silat. Kenapa tidak futsal? Itu caranya memupuk minat sejak dari usia kecil.

“Saya tahu mereka yang berada dalam jawatankuasa futsal pastinya ada idea tersendiri tetapi mungkin mereka tidak tahu bagaimana nak melaksanakannya. Kita perlukan seseorang untuk merubah landskap futsal tanah air, sama seperti TMJ (Tunku Mahkota Johor) merubah landskap bolasepak JDT. Baginda tidak sekadar bercakap, tetapi membuktikannya.”

Sementara itu, berbicara mengenai Kuantan Rangers yang ditubuhkan pada Oktober 2016, Tengku Aidy berkata pasukan itu berada di landasan yang betul untuk terus mengorak langkah dan tidak lama lagi akan mengambil bahagian dalam pusingan kelayakan LFK 2018 pada 24-28 Januari.

“Setahun telah menjadikan pasukan ini lebih matang, lebih mantap, pelbagai program telah kita laksanakan malah telah mempunyai sebuah skuad pembangunan. Kini kita semakin dikenali, ada nama, kita bangkit dari satu kegagalan – kegagalan layak ke LFK 2017 setelah kandas di pusingan kelayakan dan belajar dari situ untuk menjadi lebih baik.

“Saya lihat semangat di kalangan pemain cukup tinggi mahu menebus kegagalan tahun lalu dan saya yakin mereka boleh lakukannya. Mereka bekerja keras sewaktu latihan dan pengurusan juga menjaga kebajikan mereka dengan baik. Adunan pemain muda dan berpengalaman di dalam pasukan mempunyai kualiti yang diperlukan untuk melangkah jauh, yang penting kita perlu sentiasa merendah diri dan tidak sesekali bersikap bongkak,” ujar beliau.

Bagaimanapun menurut Tengku Aidy, masih terlalu awal untuk mengatakan Kuantan Rangers adalah role model yang perlu dicontohi sebaliknya pasukan ini akan terus belajar dan meningkatkan prestasi mereka.

“Kita pasukan baru, masih mentah, dulu saya pernah cakap kita ibarat bayi, lahir tidak boleh terus berlari atau melompat. Kena merangkak, berjalan dengan betul barulah berlari .. pada saya pasukan seperti Felda, Melaka sudah mengukuhkan reputasi mereka. Mereka pernah bergelar juara LFK dan pernah bermain di kejohanan-kejohanan Asia Tenggara, kita belum lagi layak ke LFK jadi mereka adalah role model, kita pula perlu terus belajar.”

Kuantan Rangers ketika ini mempunyai 20 pemain dalam skuad senior dan 16 pemain dalam skuad B-20 yang dibentuk sejak Disember lalu.

Artikel oleh Kuantan Rangers