Syed Aizat Gembira Dapat Mewakili Skuad Kebangsaan

Pada bulan lalu kami telah menulis satu artikel mengenai permata Futsal yang kian meningkat iaitu pemain yang mewakili pasukan Selangor MPSJ iaitu Syed Aizad Daniel.

Walaupun bertubuh kecil namun kelincahan dan aksi yang bertenaga ditunjukkan oleh pemain yang berumur 19 tahun ini telah menjadi bualan peminat futsal tanah air.

AY1_5726

Beliau telah mencuri tumpuan barisan kejurulatihan skuad Kebangsaan dan Coach Marcelo telah membuat keputusan tepat apabila mengetepikan beberapa pemain berpengalaman dan membawanya sebagai salah seorang pemain skuad Kebangsaan di Kejohanan Futsal Piala Komanwel di New Zealand baru baru ini.

Walaupun pertama kali mewakili skuad Kebangsaan di Kejohanan peringkat antarbangsa, beliau telah memberikan aksi yang terbaik dan berjaya membantu skuad Kebangsaan mendapatkan tempat kedua. Malah beliau berjaya beberapa kali melepas diri dari jagaan pemain lawan dengan skill individu dan kelincahannya. Malah beliau juga berjaya peroleh satu gol ketika pasukan Malaysia menang 5-2 ke atas pasukan New Zealand.

Ikuti temu bual wartawan kami bersama saudara Syed Aizad Daniel

AFM : Boleh kongsikan pengalaman bermain buat pertama kali bersama skuad Kebangsaan di Kejohanan Futsal ?

SA : Pengalaman mewakili skuad Kebangsaan adalah satu pengalaman yang beharga dan bagus untuk diri saya sendiri selain bermain di kejohanan Liga Futsal Kebangsaan . Suasana kejohanan di peringkat antarabangsa lebih tegang berbanding bermain di Liga Futsal Kebangsaan. Saya sangat gembira kerana diberi kepercayaan oleh coach Marcelo untuk terpilih mewakili skuad kebangsaan kali ini.
AFM : Ramai yang mengatakkan anda adalah pemain harapan negara, boleh komen.?

SA : Saya tidak sesekali merasakan saya harapan negara kerana banyak perkara yang perlu saya belajar mengenai teknik dan asas futsal .

AFM : Bagaimana corak latihan skuad Kebangsaan?

SA : Alhamdulillah saya dapat menyesuaikan diri dengan corak latihan yang diterapkan oleh coach Marcelo. Corak permainan seperti set-piece lebih kebanyakkan lebih kurang sama dengan pasukan Selangor MPSJ , tapi banyak perkara yang saya belajar dengan coach Marcelo seperti teknik menghantar bola , cara larian dan cara support bola apabila kena pressing dari pihak lawan.

AFM : Anda pemain paling Muda dan pemain baru dalam skuad berbanding player lain yang lebih senior. Bagaimana penerimaan pemain senior lain.
SA : Alhamdulillah pemain senior banyak membantu saya ketika training, mereka banyak memberi tunjuk ajar mana yang saya tidak betul. Malah mereka banyak memberi semangat kepada saya dan ia amat penting bagi saya untuk terus maju dan terus mewakili skuad Kebangsaan.

AFM : Menentang pasukan yang hebat seperti Australia dan hanya tewas tipis 1-0. Boleh komen sedikit mengenai perlawanan tersebut?

SA : Pasukan Australia mempunyai fizikal yg jauh lebih besar dari pasukan Malaysia, teknik hantaran bola mereka begitu bagus. Pada perlawanan tersebut kami bermain dengan baik disiplin yang tinggi ditunjukkan oleh semua pemain cuma apabila di hadapan gol kami agak ghairah dan tidak berjaya menyempurna peluang yang ada. Kami juga gagal mencari gol apabila penjaga gawang pasukan Australia begitu cemerlang pada perlawanan tersebut . Banyak yang saya belajar dari perlawanan ini.

AFM : Harapan buat diri sendiri dan skuad Kebangsaan.

SA : Harapan saya agar dapat meneruskan prestasi cemerlang ini dan membawa nama futsal malaysia ke peringkat yang lebih tinggi . Saya juga berharap agar terus diberi kepercayaan oleh coach Marcelo untuk mewakili skuad Kebangsaan.