Suka Duka Kejohanan Futsal KBS 2016

Kejohanan Futsal KBS 2016 yang melabuhkan tirainya pada minggu lalu memberikan pelbagai cerita yang dapat diperkatakan mengenai kejohanan futsal berprestij itu. Beberapa kategori dipertandingkan antaranya agensi kerajaan, terbuka lelaki dan wanita dan bawah 16 tahun serta turut diadakan Grand Final Liga Sukan Untuk Semua (LSUS).

 

Kelemahan pihak penganjur yang lambat dalam mengatur perancangan yang baik bagi kelangsungan kategori terbuka lelaki jelas amat perlu dititikberatkan pada edisi mendatang kerana ianya sedikit sebanyak mencalarkan reputasi kejohanan yang dihadiri ribuan bakat terpendam dalam sukan futsal ini.

 

Namun, pujian harus diberikan kepada beberapa pengurus pasukan bertanding (The Bosses) yang sudi membantu pihak penganjur dalam melicinkan kembali perjalanan kejohanan dan ianya dibuktikan apabila segalanya kembali positif pada hari terakhir kejohanan. Satu inisiatif dari para pengurus yang boleh dijadikan panduan oleh pihak penganjur.

 

Kehadiran ratusan pasukan dari seluruh negara juga memberikan gambaran jelas bahawa negara kita dibanjiri dengan bakat futsal berbakat yang harus diketengahkan secara tidak langsung dapat mengembangkan kualiti futsal di tanah air.

 

Sebagai contoh keupayaan pasukan Darul Ridzuan Chailuzz B yang melayakkan diri ke saingan suku akhir kategori terbuka menyenaraikan 2 orang pemain utama yang berusia 16 dan 17 tahun. Ianya merupakan pendedahan berharga buat kedua-dua pemain tersebut bagi bersaing menentang pasukan serta pemain yang lebih berpengalaman.

ZURI2342

Disamping itu Kementerian Belia dan Sukan turut mengambil kesempatan bagi mempromosikan Sukan Sea 2017 apabila kehadiran maskot rasmi sukan tersebut yang memeriahkan perlawanan akhir kategori jabatan yang berlangsung di Gelanggang Mokhtar Dahari.

 

Kehadiran 600 pasukan yang bertanding dalam 5 kategori membuktikan prestij kejohanan ini dan ditambah lagi dengan kemeriahan serta tayangan skrin besar aksi final acara perseorangan Sukan Olimpik Rio 2016 diantara Datuk Lee Chong Wei menentang Chen Long memeriahkan lagi perkarangan Kompleks Futsal 1 Malaysia, Putrajaya. Semua ini menyerlahkan lagi bahawa sukan mampu menyatupadukan rakyat Malaysia khasnya.

 

Diharapkan segala kelemahan yang wujud pada edisi kali ini dapat dijadikan iktibar dan diperbaiki oleh pihak berkenaan kerana walaupun terjadi perkara yang tidak diingini berlaku kemeriahan acara ini sungguh mengagumkan dan tahniah diucapkan kepada para pemenang dan jumpa lagi tahun hadapan.

 

Kredit foto : Afiq Ismail