Skuad Negara "Terbang" Ke Jepun

Skuad negara mendapat pendedahan berterusan apabila skuad Marcelo Serpa akan berkelana ke Jepun selama seminggu. Pasukan negara yang berlepas malam semalam bagi menghadapi beberapa perlawanan ujian menentang skuad kebangsaan Jepun dan beberapa pasukan liga profesional Jepun di Oita dan Osaka.

Pasukan ini dalam misi bagi bersaing hebat dengan pasukan terbaik Asean untuk merangkul Kejuaraan AFF di Bangkok akan berkelana di negara matahari terbit itu sehingga 12 September ini.

Dari senarai 19 orang pemain yang menyertai latihan pusat di Shah Alam, hanya 16 pemain telah terpilih apabila Abu Haniffa yang masih dibelenggu kecederaan, Amar Ashraf yang akan menyambut kelahiran anak sulungnya dan juga Azrin Adnan telah diketepikan bagi siri perlawanan di Jepun ini.

Penolong jurulatih skuad negara, Addie Azwan Zainal memberitahu wakil Arena Futsal Malaysia (AFM) bahawa skuad negara sudah bersedia bagi siri lawatan ke Jepun ini dan barisan kejurulatihan juga telah membuat persiapan mengenai kekuatan pasukan yang akan ditemui di Oita dan Osaka itu.

'' Kita tidak melihat faktor kemenangan atau kekalahan pada siri lawatan ini sebagai kayu pengukur keupayaan skuad negara namun apa yang perlu ditingkatkan adalah prestasi, persefahaman sepasukan serta mengambil seberapa banyak pengalaman berguna yang bakal diperolehi nanti,'' ulas bekas tonggak skuad futsal negara pada satu ketika.

Kunjungan ke Jepun ini menjadi medan berguna buat skuad negara bagi kembali mengasah ketajaman serta memperbaiki corak permainan mereka selepas berjaya memperoleh tempat kedua di Kejohanan Futsal Komanwel 2015 di New Zealand pada Ogos lepas.