Skuad Negara Sedia Hadapi Kejohanan Futsal AFF 2017

Tonggak pertahanan pasukan futsal negara, Abu Haniffa Hasan, percaya barisan negara akan memberi cabaran kuat berlandaskan prestasi semasa dalam Kejohanan Futsal AFF di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, bermula Khamis ini hingga 3 November depan.

Keyakinan pemain kelahiran Melaka itu bersandarkan kepada aksi yang dipamerkan skuad kebangsaan dalam dua perlawanan persahabatan berdepan Qatar di Doha pada 13 dan 15 Oktober lalu.

Skuad negara seri 1-1 dalam aksi pertama sebelum melakar kemenangan 5-4 dalam aksi kedua.

"Dua perlawanan di Qatar penting bagi kami. Pemain memberikan 100 peratus dan tidak memikirkan keputusan-keputusan lalu. Kami memang bersemangat," katanya.

Dengan tidak banyak perubahan berbanding skuad Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Abu Haniffa turut yakin mereka akan bersedia menangani pasukan pilihan, iaitu Thailand.

Walaupun terdapat perkhabaran skuad Gajah Perang itu bakal menurunkan pasukan bawah 23 tahun, dia menegaskan Malaysia tetap turun untuk memburu kemenangan.

"Jurang kita dengan Thailand tidak seperti dulu. Kami akan buat sehabis baik di sana walaupun mereka menurunkan skuad bawah 23 tahun.

"Kami akan bermain habis-habisan, tidak kira mereka menurunkan skuad mana pun," tambahnya.

Malaysia akan memulakan kejohanan itu dengan berdepan Timor-Leste pada Khamis ini, sementara Laos menanti sehari selepas itu dan disusuli Thailand pada Sabtu.

Artikel oleh : Stadium Astro/Astro Arena

Gambar oleh : Bolalob