Skuad Futsal Tak Gentar Thailand, Vietnam

Skuad futsal negara yang sering dibayangi kekuatan Thailand dan Vietnam dijangka bakal tampil lebih mantap di saingan Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur berdasarkan persiapan rapi pasukan itu sepanjang tahun ini.

Pengendali pasukan, Chiew Chun Yong berkata, anak buahnya cukup teruja untuk bersaing dalam temasya dwitahunan itu dengan mereka disasarkan menyumbang emas buat kontinjen negara.

Katanya, berdasarkan pencapaian setakat ini anak didiknya semakin menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa.

“Penghalang kita pastinya datang dari Thailand dan Vietnam kerana mereka jelas berada satu anak tangga di depan kita.

“Namun, saya percaya, berbekalkan persiapan rapi sejak awal tahun ini di samping kelebihan beraksi tempat sendiri tidak mustahil kita boleh mencipta kejutan,” katanya.

Pencapaian terbaik pasukan futsal negara dalam saingan Sukan SEA adalah pada 2007 ketika Thailand menjadi tuan rumah dengan Malaysia meraih perak.

Jelasnya meskipun terdapat banyak perkembangan positif sepanjang tempoh persiapan pasukan, Chun Yong menegaskan masih banyak kerja harus dilakukan terutama dari aspek mental, kombinasi dan keyakinan diri.

“Tekanan memang ada sebab kita akan beraksi di halaman sendiri. Jadi, mental pemain kena kuat dan saya harap kita akan tampil lebih bersedia Ogos nanti,” katanya.

Artikel oleh Harian Metro