Skuad Futsal Negara Sedia Bertemu Thailand

Pemain tengah skuad futsal negara, Mohd Khairul Effendy Bahrin, menyifatkan kejayaan membantu Melaka meraih tempat ketiga dalam Kejohanan Futsal Kelab AFF, awal bulan ini, sebagai motivasi penting untuknya dalam Sukan SEA, bulan depan.

Katanya, pencapaian dalam kejohanan itu membuktikan pemain negara mampu bersaing dengan negara serantau terutama pasukan pilihan, Thailand.

"Memang ia memberi keyakinan sebab semasa berada dalam kejohanan itu, kami jumpa salah sebuah kelab terbaik Thailand. Masa itu kami bukan skuad penuh (terbaik) tetapi masih boleh memberikan saingan yang baik.

"Sekarang, kalau semua pemain utama ada, mungkin tiada masalah untuk memberikan tentangan sengit kepada Thailand.

"Sebab Sukan SEA di Malaysia, perasaan itu bercampur-baur, takut dan teruja semua ada. Tetapi kami fokus untuk memburu pingat emas."

Dalam pada itu, jurulatih skuad futsal negara, Chiew Chun Yong, mahu memastikan mental pemain berada di tahap terbaik.

Chun Yong turut bercadang mengadakan aksi persahabatan di Thailand bermula 26 Julai hingga 2 Ogos bagi memantapkan lagi persembahan skuad negara dalam temasya dwitahunan itu.

"Kami ada persiapan untuk pergi ke Bangkok hujung bulan ini. Persiapan ini adalah sebahagian daripada persiapan Sukan SEA dan kami akan bermain tiga perlawanan persahabatan di sana.

"Saya masih banyak yang perlu diberi perhatian. Taktikal, saya masih lagi perlu tingkatkan, juga psikologi.

"Disebabkan bermain di gelanggang sendiri, banyak aspek yang kami perlu buat persediaan kerana saya jangkakan penyokong akan penuh dan bagaimana untuk mengurus pasukan lawan," tambahnya.

Dengan menawarkan dua pingat emas (lelaki dan wanita), pertandingan futsal Sukan SEA akan diadakan di Stadium Panasonic, Shah Alam, bermula 18 hingga 27 Ogos nanti.

Artikel oleh : Stadium Astro/Astro Arena