Skuad Futsal Negara Sasar Kelompok 50 Terbaik Dunia

Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan skuad futsal negara bukan lagi mangsa belasahan Thailand biarpun tewas 3-6 kepada negara jiran itu dalam aksi terakhir Kumpulan B Kejohanan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2017 di Stadium Tertutup Phu Tho, Ho Chi Minh City, Viet­nam semalam.

Berdasarkan statistik perlawanan lalu termasuk pentas final Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pasukan negara tewas 3-4, skuad negara yang terdiri daripada pemain-pemain muda semakin hampir untuk merapatkan jurang dengan Thailand yang menduduki ran­king Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ke-17 dunia.

Biarpun tewas, pasukan negara tetap me­ngiringi Thailand selaku pendahulu Kumpulan B, layak ke pusingan separuh akhir kejohanan Futsal AFF 2017 di venue sama Rabu ini.

Menurut ketua jurulatih futsal negara, Chiew Chun Yong, dia mengakui kecewa dengan kekalahan itu kerana para pemain mampu bersaing dengan Thailand yang memiliki kelebihan pengalaman dan pemain-pemain berkualiti.

Namun Chun Yong tetap memuji semangat tinggi para pemain yang mempamerkan kebangkitan lewat separuh masa kedua dan mengharapkan sikap itu dapat diteruskan pada aksi seterusnya.

“Kita perlukan anjakan paradigma, saya percaya jurang sudah tidak begitu jauh dengan Thailand. Bukan mencari alasan tetapi apa yang saya utamakan adalah persembahan pemain, bukannya status pa­sukan lawan.

“Saya tidak kisah jika mereka bertemu Indonesia, Vietnam atau mana-mana pasukan sekali pun tetapi peranca­ngan, taktikal serta persembahan menjadi keutamaan.

“Kita banyak melakukan kesilapan dan gagal memanfaatkan peluang keemasan pada separuh masa pertama. Sejujurnya, saya sudah ramalkan perkara ini berlaku sebelum perlawanan tetapi ini adalah proses pembelajaran cukup penting buat mereka.

“Pasukan negara telah menunjukkan banyak peningkatan, kenaikan ranking sebelum ini yang berada di tangga ke-59 dan kini ke-57 telah memberikan kami suntikan moral.

“Saya percaya kita mampu bersaing jika pendedahan di pentas antarabangsa diteruskan, pendidikan serta pembangunan akar umbi terus dipergiatkan. Secara peribadi, saya berhajat untuk meletakkan pasukan negara berada dalam kelompok 50 terbaik dunia dalam tempoh dua tahun,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Ho Chi Minh semalam.

Skuad negara bersama Thailand bakal menantikan saingan Kumpulan A tamat yang melibatkan Indonesia, Vietnam, Myan­mar, Brunei dan Filipina pada Isnin ini bagi menentukan pasukan lawan di pentas separuh akhir.

Selain mara ke pusingan separuh akhir, skuad negara turut layak bermain di pusingan akhir Kejohanan Futsal Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 Taiwan selepas muncul sebagai naib juara Kumpulan B Futsal AFF 2017 Vietnam.

Artikel oleh Ahmad Fazli Mohd. Yadi / Kosmo

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=1029&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4wrg00fEU
Hakcipta terpelihara