Skuad Futsal Negara Asah Taring Di Beirut

Pengendali skuad futsal kebangsaan, Chiew Chun Yong, tidak mahu persiapan singkat sempena Kejohanan Futsal AFC di Taiwan bulan depan sebagai alasan buat pemain untuk tidak memberikan aksi ampuh dalam saingan itu nanti.

Skuad negara berlepas ke Beirut, Lubnan, semalam  untuk tiga aksi persahabatan antarabangsa yang juga fasa persiapan terakhir sebelum mereka beraksi dalam Kejohanan Futsal AFC dari 1 hingga 11 Februari depan.

Barisan negara akan menguji skuad tuan rumah pada Ahad ini sebelum berdepan Iraq, sehari kemudian dan akan menamatkan siri persahabatan di Beirut dengan sekali lagi berdepan Lubnan pada Rabu sebelum pulang ke tanah air keesokannya.
Chun Yong turut menggesa pemainnya menyerlahkan perwatakan yang kuat dalam tiga aksi di sana nanti.

"Tempoh persiapan kami (untuk menghadapi Kejohanan Futsal AFC) agak singkat tetapi ini bukan alasan. Pasukan Malaysia perlu menghasilkan keputusan memberangsangkan.

"Kami akan berkunjung ke Lubnan untuk mengadakan tiga perlawanan persahabatan.

"Justeru, saya mahu mencuba pemain dan strategi ketika kami menghadapi Iraq nanti.

"Saya akan memantau persembahan mereka sama ada mereka sudah bersedia untuk menghadapi Kejohanan Futsal AFC," katanya.

Dalam perkembangan lain, tonggak pertahanan negara, Mohd Azwan Ismail, mengakui saingan merebut tempat semakin sengit, dengan Chun Yong akan menggugurkan dua pemain sekembalinya dari Beirut sebelum menamakan senarai akhir 14 pemain ke Taiwan.

"Persaingan perlu ada. Ini satu persaingan yang sihat, siapa yang terbaik akan terpilih," kata pertahanan itu.

 

Artikel oleh Astro Arena/Stadium Astro

Gambar oleh FAM