Siapakah Bakal Menjadi Pilihan Marcelo?

Malaysia yang turun pada perlawanan persahabatan menentang pasukan pilihan KLMK berjaya meraih kemenangan dengan jaringan 7-2.

Pasukan pilihan KLMK turun dengan beberapa pemain gabungan dari Liga Futsal Kebangsaan antaranya Jamal (Melaka) , Zahrin, Kamarul, Hafiz (KLMK), Awal (Selangor) dan juga Azwan (Felda United).

Namun apa yang menarik pada perlawanan ini adalah kehadiran beberapa pemain luar dari negara Libya, Iran dan juga Nigeria yang memperkuatkan pasukan pilihan KLMK.

Kelebihan saiz badan yang besar dimiliki oleh pemain luar ini memberikan kesukaran buat para pemain Malaysia untuk mendapatkan bola dari mereka. Malah skill individu yang tinggi ditunjukkan oleh pemain dari luar ini juga menarik perhatian para penyokong yang hadir memenuhi stadium.

Pasukan Malaysia yang sekadar seri dengan jaringan 1-1 pada separuh masa pertama bangkit pada separuh masa kedua apabila mereka berjaya mendahului dengan jaringan 3-1 hasil jaringan menarik oleh Fawzul dan juga Aula.

Perlawanan yang berlangsung secara "tiga half" memberikan ruang kepada jurulatih Malaysia untuk mencuba beberapa taktikal dan untuk mencari keserasian para pemain. Akhirnya pasukan pilihan KLMK terpaksa akur apabila mereka tewas dengan jaringan 7-2.

Perlawanan ini sangat penting bagi pihak kejurulatihan pasukan Malaysia yang diketuai oleh Marcelo untuk mendapatkan 12 pemain terbaik untuk di bawa ke New Zealand dimana mereka bakal beraksi di Kejohanan Futsal Komanwel bermula 10 Julai ini.

Para pemain Malaysia yang kini sedang menjalani latihan pusat fasa 4 akan meneruskan latihan sehingga 28 Jun sebelum 12 nama pemain yang terpilih di keluarkan untuk mewakili Malaysia di New Zealand.