Shazreen Gembira Bantu ''MALAYSIA TIGIRLS'' Pamer Aksi Mengalakkan

 

IMG-20150914-WA0051~2

Walaupun Kejuaraan Futsal AFC Wanita 2015 sudah melabuhkan tirai hampir sebulan namun pencapaian yang diukir oleh skuad wanita negara masih menjadi bualan peminat futsal negara.

Dibalik kejayaan tersebut ianya telah menyebabkan pemain wanita negara menjadi kegilaan para peminat dan Nur Shazreen Bt Munazli turut tidak terlepas dari fenomena tersebut. Arena Futsal Malaysia (AFM) sempat menemuramah Shazreen bagi menceritakan pembabitan beliau dalam sukan futsal.

Anak gadis berusia 22 tahun yang turut menganggotai skuad wanita negara pada kejohanan tersebut mewakili MPSJ Selangor dalam saingan Liga Futsal Kebangsaan musim ini dan beliau juga merupakan antara sandaran utama pasukan MPSJ Selangor musim ini selain dari Fatin Shahida Azmi dan Steffi Kaur.

Shazreen yang lahir pada 21 Disember 1993 merupakan anak kelahiran Shah Alam dan mula aktif serta berjinak secara serius dalam futsal sejak zaman persekolahan beliau. Antara pencapaian terbaik yang dikecapi oleh Shazreen adalah menjadi pemain terbaik Liga Futsal Kebangsaan 2013/2014 dan dinobatkan selaku penjaring terbanyak Piala Futsal Kebangsaan 2015.

Beliau juga turut membantu MPSJ Selangor menjulang Piala Futsal Kebangsaan buat 2 tahun berturut-turut pada musim 2013/2014 dan 2015 dan menjuarai Liga Futsal Kebangsaan 2013/2014. Bagi peringkat antarabangsa pula adalah kejayaan memenangi pingat gangsa Sukan Sea 2013 dan kejayaan terbaru tempat ke-4 pada Kejuaraan Futsal AFC Wanita tempohari.

Shazreen

 

Disebalik semua kejayaan yang dikecapi beliau menyifatkan bahawa faktor keluarga menjadi punca kejayaan beliau. " Keluarga menjadi pendorong kepada saya dalam bidang futsal hingga berjaya ke tahap ini, " ujar beliau.

Disamping itu Shazreen turut menjadikan bekas pemain kebangsaan, Mohd Fairuz Mohd Noor yang juga merupakan jurulatih MPSJ Selangor dan pemain wanita Brazil, Vanessa selaku idola beliau dalam bidang ini.

Beliau ternyata begitu gembira dengan pencapaian pasukan negara pada aksi di Nilai tempohari." Kejayaan tempat ke-4 yang kami perolehi dapat membuka mata para peminat terhadap keupayaan skuad wanita negara dan saya turut berbangga dapat menggembirakan para peminat negara ketika itu."

Harapan beliau adalah supaya perancangan serta latihan yang lebih sistematik bagi melihat skuad futsal negara dapat lebih bersaing lebih hebat dengan kuasa futsal di Asia dan dunia.

Kredit foto : SukanMalaysia.my