Seribu Suka Duka Futsal 2015

Tahun 2015 menyaksikan para peminat futsal negara disajikan dengan pelbagai ragam serta peristiwa yang pastinya mendatangkan kesan buat futsal tanah air.

Andai melihat pada penganjuran Liga Futsal Kebangsaan ( LFK ) 2015, terdapat banyak kebocoran yang perlu ditampung oleh pihak penganjur bagi penambahbaikan liga futsal terulung di negara ini.

Masalah tiada lokasi tetap bagi perlawanan LFK menjadi salah satu isu utama yang wajar dititikberatkan. Pada mulanya Kompleks Sukan Negara Panasonic menjadi pilihan lokasi pertandingan dan kemudiannya bertukar ke KSL Sports Seri Gombak dan kembali semula ke Kompleks Sukan Negara Panasonic. Sememangnya perkara ini tidak menjadi masalah buat semua pasukan bertanding namun tiada keseragaman dalam pengendalian isu lokasi pertandingan mampu memberikan tanggapan negatif dalam kalangan penyokong.

Berkaitan dengan lokasi tersebut ianya turut berkait rapat dengan isu keselamatan. Mengambil contoh insiden yang melibatkan para penonton ketika aksi Selangor menentang Kedah di KSL Sports Seri Gombak membuktikan bahawa terdapat lokasi yang tidak sesuai ditambah pula dengan faktor keselamatan yang kurang dititikberatkan. Oleh hal demikian, faktor lokasi dan keselamatan bukanlah perkara yang boleh dipandang enteng dalam menganjurkan LFK ini.

Duka 2015 turut menyaksikan masalah kesilapan nilai pada ‘mock cheque’ ketika saingan Grand Final. Jumlah yang tertulis adalah RM 100,000.00 bagi juara manakala RM 60,000.00 untuk naib juara. Namun pihak penganjur mengatakan bahawa jumlah itu adalah tidak benar dan berubah menjadi RM 50,000.00 buat juara dan RM 30,000.00 bagi naib juara. Mana mungkin perkara seperti ini berlaku sedangkan segala persiapan sudah dilakukan dan dijanjikan pada awalnya jumlah yang bakal diterima oleh juara adalah RM 100,000.00.

Media arus perdana juga kelihatannya agak kurang berminat dalam menyiarkan serta menghebahkan info terkini tentang LFK yang berlangsung tempohari. Mujurlah Kejuaraan Futsal AFC Wanita 2015 disiarkan siaran langsung di stesen televisyen berbayar tanah air, sedikit sebanyak para peminat futsal negara dapat menyaksikan sendiri aksi pemain negara berjuang dimana skuad wanita negara berjaya memperoleh tempat ke-4 kejohanan .

Kejayaan skuad lelaki negara menduduki tempat ke-3 Kejuaraan Futsal AFF 2015 di Bangkok hampir dikejutkan dengan berita khidmat ketua jurulatih negara, Marcelo Serpa tidak disambung kontrak kerana diberitakan tidak mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu layak ke perlawanan akhir kejohanan tersebut. Satu sasaran yang tidak keterlaluan namun tempat ke-3 yang dicapai juga wajar dipuji kerana kejayaan bangkit untuk menewaskan Vietnam merupakan antara aksi terbaik skuad negara dan akhirnya setelah perbincangan dilakukan khidmat Marcelo masih ditagih selama setahun.

image

Namun tidak semuanya cerita duka sahaja yang dapat dicoretkan sepanjang 2015 ini. Kejayaan skuad wanita negara mencatatkan kedudukan ke-4 di Kejuaraan Futsal AFC Wanita telah menepis segala tanggapan awal yang kelihatan kurang yakin dengan keupayaan anak buah Chiew Chun Yong dari melakar kejutan yang bermakna ini. Pencapaian baik tersebut turut diserikan dengan kejayaan Farahiyah Ridzuan menggondol gelaran penjaring terbanyak kejohanan dengan 7 gol.

IMG-20150921-WA0041

Skuad lelaki turut mengikut jejak langkah skuad wanita apabila berjaya mendapat tempat ke-3 pada Kejuaraan Futsal AFF yang berlangsung di Bangkok. Melihat kepada aksi skuad negara menentang kuasa besar futsal seperti Thailand, Australia dan Vietnam menyaksikan jurang yang dahulunya sangat jauh untuk disaingi oleh skuad negara sudah semakin dihampiri oleh pasukan negara hasil bantuan sentuhan Marcelo Serpa bersama pembantunya Addie Azwan Zainal dan Muhd Fairuz Mohd Noor.

Kejayaan mendapat tempat ke-3 menyaksikan skuad negara berjaya melayakkan diri ke Kejuaraan Futsal AFC yang berlangsung di Tashkent, Uzbekistan pada Februari 2016 nanti. Malaysia diundi satu kumpulan bersama dengan Jepun, Australia dan Qatar. Satu kumpulan yang boleh diklasifikasikan sebagai agak sukar namun tiada yang mustahil untuk dilaksanakan oleh pasukan negara.

Felda United yang membawa cabaran negara di Kejuaraan Kelab Futsal AFF juga tidak menghampakan walaupun masih gagal untuk menyaingi kehebatan pasukan dari Thailand. Keupayaan pasukan lelaki menjadi naib juara dan pasukan wanita mencatat tempat ke-4 akan dapat memberikan pendedahan buat pasukan tersebut serta menjadi pemangkin buat semua pasukan di LFK untuk mempamerkan aksi yang lebih bermutu untuk membawa cabaran negara satu masa nanti.

Terlalu banyak untuk kita singkapkan pada tahun ini namun pujian dan terima kasih juga turut diberikan kepada semua pasukan yang bertanding di Liga Futsal Kebangsaan 2015 yang memperlihatkan saingan yang semakin sengit bagi kedua-dua kategori yang dipertandingan. Pasukan- pasukan seperti Kuala Lumpur MK,T-Team, Perak, Melaka, Selangor , MPSJ Selangor dan beberapa lagi pasukan dalam saingan kategori lelaki mampu untuk menghalang kemaraan Felda United pada musim hadapan.

Begitu juga dalam kategori wanita dimana keampuhan Felda United dan MPSJ Selangor kian dirapati oleh Sabah dan Selangor yang semakin menunjukkan peningkatan disamping pasukan seperti Kedah, Perak, PDRM dan lain-lain lagi terus mencari ruang untuk terus menyinar. Semua ini adalah baik dalam perkembangan sukan futsal tanah air.

'Liga haram' turut boleh dikatakan mencapai kegemilangan apabila boleh dikatakan hampir setiap minggu dapat menyaksikan pertandingan di segenap pelusuk tanah air dan penyertaan bagi setiap pertandingan sangat membanggakan. Hal ini dapat memberikan gambaran bahawa pasukan-pasukan yang bertanding sangat serius dalam menyertai sesuatu pertandingan dan mempamerkan aksi yang sangat baik.

Akhir sekali tahniah juga buat pasukan-pasukan ‘liga haram’ yang mewarnai pertandingan demi pertandingan yang dipertandingan sepanjang tahun ini dan diharapkan dapat meneruskan usaha yang dilakukan secara tidak langsung dapat melahirkan bakat-bakat yang satu masa nanti dapat beraksi di LFK akan datang.

 

KREDIT FOTO : AFC & Google.com