Serap Ilmu Jagoan Dunia

Tiga aksi berdepan jaguh dunia Republik Czech, England dan China bakal menguji kekuatan skuad futsal negara dalam misi membentuk pasukan terbaik menjelang saingan Sukan SEA di Kuala Lumpur, Ogos ini.

Pengendali pasukan futsal negara, Chiew Chun Yong berkata, saingan Kejohanan Antarabangsa Persatuan Bolasepak China (CFA) 2017 di Hunan, dilihat sebagai ujian getir buat pemain menyediakan pakej lengkap dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi temasya sukan serantau itu.

Katanya, aksi pertama berdepan Republik Czech esok amat penting untuk beliau mengenal pasti apa jua kelemahan selain mahu melihat anak buahnya menterjemahkan segala yang dipelajari dalam sesi latihan sebelum ini.

“Selain menyertai kejohanan berkenaan, perlawanan di sana juga sebagai persiapan pasukan negara menghadapi Sukan SEA yang akan dianjurkan di halaman sendiri.

“Jadi kami mahu pastikan pasukan ini benar-benar mantap sekali gus mampu mencabar emas nanti,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Skuad kendalian Chun Yong yang kini berada di kedudukan ke-69 ranking dunia bakal membuka cabaran menentang Republik Czech esok sebelum menentang pasukan tuan rumah, China (Sabtu) dan England (Ahad).

Jelas pengendali berusia 44 tahun itu, beliau mengharapkan pemain bakal memperoleh motivasi tinggi sepanjang menyertai saingan di China itu, sekali gus menampilkan persembahan cemerlang.

“Saya menjangkakan banyak ilmu bakal diperoleh semua pemain serta mahu melihat sejauh mana mereka mampu bersaing serta mengadaptasi strategi dan taktikal yang sudah diterapkan,” katanya.

Berdasarkan format kejohanan, juara akan ditentukan berdasarkan pasukan mana mengutip mata tertinggi selepas masing-masing selesai mengharungi tiga perlawanan secara liga sepusingan.

 

Artikel oleh Harian Metro