Selangor Juara

FOTO Oleh Futsal Selangor

Debaran penghujung saingan liga bagi kategori wanita tersingkap dengan kejayaan Selangor merangkul gelaran liga bagi menafikan peluang Felda United untuk menyapu bersih kejuaraan liga pada musim ini. Pelbagai andaian dan telahan telah digembar gemburkan sebelum saingan minggu lepas telah menghangatkan lagi perebutan mahkota kejuaraan liga pada musim ini.

Segalanya tampak berada di landasan yang tepat buat Selangor apabila membelasah Sarawak DBKU dengan jaringan 17-1 pada perlawanan pertama namun dipaksa berhempas pulas untuk menewaskan Kuala Lumpur bagi menamatkan liga dengan 47 mata berbekalkan 70 perbezaan jaringan. Kemenangan 2-1 menentang Kuala Lumpur melihatkan Selangor melepaskan banyak peluang untuk menewaskan lawan dengan jurang yang lebih besar dan terpaksa menunggu dengan penuh debar keputusan diantara Felda United menentang Perak.

Berbeza pula dengan Felda United yang bergelut untuk mengenepikan saingan hebat dari Kedah apabila hanya mencatatkan kemenangan tipis 3-2 dan bergaya menewaskan Perak, pada perlawanan yang turut mendapat perhatian pasukan Selangor dengan keputusan 8-2 pada perlawanan terakhir liga. Namun, ianya masih belum cukup untuk merampas kedudukan Selangor di persada liga walaupun berkongsi 47 mata. Felda United yang dibarisi ramai pemain skuad kebangsaan hanya mencatatkan 69 perbezaan jaringan dan terpaksa berputih mata untuk melihat kejuaraan yang menjadi idaman mereka terlepas ke genggaman seteru mereka itu.

Ternyata telahan dan andaian sesetengah pihak terhadap integriti Liga Futsal Kebangsaan ini meleset dan ianya dapat dibuktikan pada kedudukan terakhir liga. Seorang penggiat futsal yang mahu identitinya dirahsiakan memberitahu wakil AFM, bahawa pengamal media sosial seharusnya hanya melaporkan berita yang sahih dan tidak mereka-reka cerita dan membuat andaian mengikut naluri hati sendiri sahaja. Perkara sedemikian secara tidak langsung mampu memberikan impak negatif terhadap liga ini.

Akhir sekali syabas diucapkan kepada Selangor kerana telah menjuarai liga pada musim ini. Persaingan sengit begini baik untuk perkembangan futsal wanita supaya dapat meningkatkan lagi taraf sukan ini dimata rakyat dan penggemar sukan futsal bagi golongan wanita khasnya. Selamat berjuang diucapkan kepada pasukan yang layak ke pusingan ”Grand Final” pada awal bulan ini dan terus mempersembahkan aksi yang mengagumkan.