Selamat kembali Indonesia

Setelah hampir setahun tidak bermain di peringkat antarabangasa akhirnya Indonesia bakal kembali di persada antarabangsa apabila penggantungan Indonesia daripada bola sepak antarabangsa kerana campur tangan kerajaan ke atas persekutuan bola sepak negara itu ditamatkan baru baru ini oleh Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Keputusan ini bakal mengubah industri bola sepak dan juga futsal terutama di peringkat asia tenggara apabila mereka akan kembali memberi saingan kepada pasukan-pasukan jiran yang lain.

48720160606162841780

Walaupun mereka telah digantung namun itu tidak memberikan kesan yang tinggi buat mereka dan mereka terus merencana pembangunan futsal di negara tersebut. Kita dapat lihat liga futsal di negara tersebut masih diteruskan di setiap peringkat umur malah liga utama mereka yang dikenali sebagai "Pro Futsal League"  baru sahaja tamat pada minggu lepas dimana pasukan Black Steel Manokwari menjuarai bagi kategori lelaki dan pasukan Jaya Kencana Angels bagi kategori wanita.

Apa yang menarik kedua-dua pasukan ini layak untuk bertanding di "AFF Futsal Club Championship 2016" pada 10 hingga 16 Julai ini di Naypyidaw, Myanmar. Pada edisi tahun lalu pasukan Felda United yang pertama kali beraksi di kejohanan ini memberikan satu persaingan yang menarik dan mereka berjaya mendapat tempat kedua, namun pada edisi kali ini tiada wakil dari Malaysia akan bersaing.

Ketiadaan wakil dari Malaysia tampak menjadi kerugian buat kita apabila peluang untuk menyaksikan pasukan dari Malaysia untuk mendakap piala pada tahun ini hilang begitu sahaja sedangkan pasukan di negara kita mampu untuk memberikan saingan. Ini adalah disebabkan tiada liga futsal yang diadakan di Malaysia pada awal tahun ini.

Selain itu, pada 4 jun lalu satu mesyuarat telah berlangsung di Phuket, Thailand dan Persatuan Bola Sepak Asia Tenggara telah mengesahkan bahawa pasukan futsal Indonesia akan akan bertanding di Kejohanan Futsal AFF 2016 di Bangkok Thailand pada 31 Oktober hingga 6 November ini. Dalam mesyuarat tersebut juga cabutan undi bagi pasukan Indonesia dijalankan.

Pasukan Indonesia telah diundi di dalam kumpulan B bersama pasukan Myanmar, Loas, Singapura dan juga Malaysia. Jika dilihat pertemuan terakhir pasukan Malaysia dan Indonesia adalah di Kejohanan Futsal AFF 2014 Kuala Lumpur, dimana pasukan Malaysia telah tewas dengan jaringan 6-1 dan pasukan Indonesia telah mendapat tempat ke 4 di kejohanan tersebut.

Jika dilihat atas kertas Malaysia tidak menghadapi kesukaran untuk melepasi peringkat kumpulan namun dengan kehadiran pasukan Indonesia ini ia pasti akan memberi kesukaran kepada mereka. Seperti kita tahu sehingga kini masih tiada liga futsal kebangsaan di malaysia dijalankan dan platform untuk memilih pemain bagi kejohanan ini dan Sukan SEA 2017 terus menjadi tanda tanya.

84020160605160545579

Berbeza dengan pasukan Indonesia yang tampak lebih bersedia dengan liga mereka yang kompetitif dan mereka juga dikatakan akan mendapatkan sentuhan khidmat bekas jurulatih Thailand , Vic Hermans untuk membimbing pasukan Indonesia. Vic Hermans juga telah dilihat berada di perlawanan akhir Pro Futsal League baru baru ini dan kehadiran beliau itu telah menguatkan lagi desas desus bahawa beliau akan mengambil alih pasukan kebangsaan Indonesia.

Kumpulan AFF Futsal Championship 2016

Kumpulan A

Thailand, Vietnam, Brunei DS, Timor Leste

Kumpulan B

Malaysia, Myanmar, Laos, Singapura, Indonesia

Sumber Gambar : Bolalob