Saiful Nizam Serlahkan ''Bisa'' Di Bangkok

12166586_1226174040732791_735610058_n

Andai menyebut nama Saiful Nizam Mohd Ali pastinya ramai tidak dapat melupakan hatriknya di perlawanan penentuan tempat ke-3/4 Kejuaraan Futsal AFF 2015 tempohari. Ketajaman penyudah pemain yang seringkali menghasilkan jaringan menerusi sepakan percuma ini sedikit sebanyak turut membantu skuad futsal negara menggapai kejayaan manis tersebut.

Anak jati negeri Johor yang berusia 24 tahun ini juga merupakan antara pemain yang sering menggalas tanggungjawab di mana-mana pertandingan yang disertai skuad negara seperti temasya Sukan Sea, Kejohanan Futsal AFC, Kejohanan Futsal AFF, Kejohanan OFC dan banyak lagi.

Beliau yang mewakili Felda United di Liga Futsal Kebangsaan manakala mewakili MAC FC sekiranya beraksi di ''liga haram'' menjadikan permainan video dan aktiviti luar seperti mendaki gunung dan berkhemah sebagai aktiviti yang dilakukan ketika waktu lapang.

Ikuti temu bual khas Arena Futsal Malaysia (AFM) bersama pemain muda negara ini bagi mengenali beliau dengan lebih dekat dan impiannya dalam sukan futsal.

AFM : Boleh Nizam ceritakan serba sedikit mengenai pembabitan awal dalam sukan futsal ini.

SAIFUL NIZAM : Saya memulakan pembabitan dalam futsal ini apabila mewakili pasukan JFA Shark dalam Karnival Futsal i-Metro dan juga mewakili negeri Johor dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2011 dimana Johor telah berjaya memperoleh pingat emas apabila berjaya menewaskan Negeri Sembilan pada perlawanan akhir ketika itu.

AFM : Setelah mula bergiat secara serius dalam futsal, bagaimana pula dengan pencapaian Nizam dalam saingan domestik dan antarabangsa ?

SAIFUL NIZAM : Selain dari menjadi johan SUKMA 2011 di Kuala Lumpur, saya juga sudah mengecapi beberapa kejayaan seperti menjadi juara Liga Futsal Kebangsaan dan Piala Futsal Kebangsaan bagi dua tahun berturut-turut iaitu pada 2014 dan 2015. Semua kejayaan ini saya perolehi  ketika bersama pasukan Felda United.

Manakala bagi saingan antarabangsa, antara kejayaan manis yang saya rasai antaranya adalah seperti kejayaan terkini apabila menduduki tempat ke-3 pada Kejuaraan Futsal AFF 2015 di Bangkok dan tempat ke-2 di Piala Futsal Komanwel 2015 yang julung kali diadakan pada bulan Ogos lalu.

Bagi kejohanan jemputan Oceania Football Confederation Futsal Championship pula kami telah berjaya menjadi johan pada edisi 2014 dan naib johan pada 2013.

AFM : Banyak kejayaan yang dicapai oleh Nizam sepanjang pembabitan dalam futsal dan siapa yang memberikan dorongan serta galakan untuk terus berjaya dalam futsal ?

SAIFUL NIZAM : Sudah tentu galakan dan dorongan dari ahli keluarga terdekat yang membawa hingga ke tahap sekarang ini. Para jurulatih yang pernah membimbing saya da rakan-rakan seangkatan juga memainkan peranan penting dalam memberikan semangat buat saya.

AFM : Idola dalam dan luar negara ?

SAIFUL NIZAM : Idola saya dalam bidang futsal adalah bekas ketua pasukan negara iaitu Muizzuddin Haris. Saya pernah beraksi bersama beliau. Untuk idola luar negara pula semestinya saya memilih lagenda Brazil, Falcao.

AFM : Nizam baru sahaja menamatkan misi di Kejuaraan Futsal AFF di Bangkok, boleh berikan komen terhadap saingan pada kejohanan tersebut ?

SAIFUL NIZAM : Saingan di Bangkok sejujurnya saya menyatakan bahawa ini merupakan antara permainan terbaik yang pernah saya tampilkan sepanjang bermain futsal. Rakan-rakan yang lain turut memberikan tumpuan 100% pada setiap perlawanan dan fokus tersebut semakin hari semakin baik ditambah pula dengan faktor jurulatih juga turut memainkan peranan penting dalam peningkatan prestasi skuad negara kini.

AFM : Harapan Nizam terhadap futsal di Malaysia ?

SAIFUL NIZAM : Harapan saya adalah untuk membawa sukan futsal ini ke tahap yang lebih tinggi. Setelah kejayaan layak ke Kejuaraan Futsal AFC di Uzbekistan tahun hadapan, saya mengharapkan Malaysia juga mampu layak ke Piala Dunia di Colombia hujung tahun hadapan.

Saya juga turut mengharapkan sukan futsal dapat mara dengan lebih jauh dan maju kehadapan semoga seiring dengan sukan-sukan lain di Malaysia serta menjadikan sukan futsal ini berstatus profesional seperti bolasepak.

AFM : Pesanan atau kata-kata terakhir buat peminat ?

SAIFUL NIZAM : Saya ingin ucapkan terima kasih buat para peminat yang sentiasa menyokong saya dan juga pasukan futsal Malaysia. Saya harap sokongan berterusan dari anda semua terhadap futsal Malaysia.