Rina Jordana Pasang Impian Untuk Menjadi Jurulatih

Rina Jordana Adnan yang lebih dikenali dalam dunia silat olahraga, mula melibatkan diri dalam sukan futsal bersama pasukan Kelab Alam Megah pada tahun 2004.

Kemudian, dia terpilih untuk menyertai pasukan Selangor di Liga Futsal Kebangsaan (LFK) bermula 2006 sehingga 2016. Pencapaian terbaiknya adalah membantu pasukan Selangor mengekalkan kejuaraan 3 tahun berturut-turut.

Kredit Foto: FB Kejohanan Silat Kebangsaan Ke-16

Menurut Rina, tidak sukar baginya untuk mengaplikasikan segala kemahiran yang ada dalam sukan futsal dengan berbekalkan latihan fizikal dan mental dalam tempoh yang panjang dalam silat olahraga.

“Saya hanya perlu tambahkan teknik serta skill untuk bermain dengan lebih baik”, katanya.

Rina Jordana pernah menyertai beberapa kejohanan peringkat antarabangsa bersama skuad futsal wanita negara sepanjang tempoh kariernya.

Antaranya, Kejohanan Asian Indoor Games di Vietnam, World Women Futsal Championship di Spain dan Women Futsal AFC Championship di Stadium Tertutup Nilai.

Kredit Foto: FB Rina Jordana

Berdasarkan pengalaman yang dia perolehi sepanjang perlawanan tersebut, pasukan lawan mempunyai tahap kemahiran yang tinggi dari sudut tektikal perlawanan.

“Selain itu, mereka mempunyai kekuatan fizikal yang mantap serta perkara yang paling penting adalah mereka sangat serasi dalam sebuah pasukan”, katanya sekadar berkongsi pengalaman.

Menurut Rina, dia menyimpan hasrat untuk meneruskan perjuangannya dalam bidang kejurulatihan futsal.

“Saya mempunyai Sijil Kejurulatihan AFC Level 1. Tetapi, saya masih terikat dengan komitmen lain.

Jadi, ianya agak sukar untuk meletakkan komitmen sepenuhnya sebagai jurulatih”, kongsinya.

Kredit Foto: FB Rina Jordana

Rina turut memberi kata-kata semangat kepada skuad futsal wanita menjelang AFC 2018 agar skuad futsal negara perlu sedar akan tanggungjawab yang dipikul adalah sangat besar kepada negara.

“Jangan ambil mudah tentang masa latihan, jangan cepat mengalah bila dalam perlawanan, sahut cabaran dan set dalam kepala untuk pastikan juara milik kita”, nasihatnya.

“Saya sebagai bekas pemain futsal negara sentiasa mendoakan, semoga barisan terbaik futsal negara tahun ini mampu mengangkat martabat pasukan futsal wanita negara di peringkat antarabangsa”, tambahnya lagi.

 

Artikel: Wan Shahilla Nur Quratulainnie