Previu Grand Final Lelaki LFK 2015

Saingan liga bagi Liga Futsal Kebangsaan 2015 menutup tirai dengan pelbagai cerita,drama mahupun kejutan yang berlaku sekaligus menambah rencah serta kemeriahan liga futsal tertinggi ini. Bagi kategori lelaki, Felda United membuktikan bahawa mereka adalah pasukan yang wajar dicemburui kemampuannya apabila terus mempertahankan kejuaraan liga yang dimenangi musim lalu.

Seperti kebiasaan selepas tamat liga, pusingan ''Grand Final'' menjadi tumpuan bagi pasukan yang memperoleh kedudukan 8 tempat teratas untuk meneruskan saingan bagi merebut gelaran juara bagi pusingan ''Grand Final'' ini yang dijadualkan pada 8-12 Jun ini bertempat di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam. Selain Felda United yang mengesahkan diri sebagai juara, T-Team, Kuala Lumpur MK, Selangor MPSJ dan Melaka turut menjejakkan kaki ke pusingan ini bersama-sama Perak, Kedah dan Selangor bagi mengisi slot tersebut.

Perseteruan diantara Felda United dan Selangor MPSJ berterusan apabila kedua-dua pasukan diletakkan di kumpulan yang sama. Dua kuasa besar futsal di Malaysia ini ditemani oleh Melaka dan juga Selangor bagi merebut kedudukan 2 pasukan teratas untuk layak ke separuh akhir. Kumpulan ini boleh dilabelkan sebagai kumpulan maut kerana kesemua pasukan kelihatan mempunyai kekuatan tersendiri apabila semua pasukan menampilkan pemain-pemain yang dilihat mampu memberikan aksi luar biasa serta mewujudkan corak permainan pantas ketika beraksi.

Saingan di kumpulan B pula diketuai oleh naib juara liga musim ini iaitu T-Team yang akan melayani saingan dari Kuala Lumpur MK, Perak serta Kedah. Setiap pasukan mempunyai peluang seimbang untuk mara ke saingan separuh akhir. T-Team yang masih segar dengan kejayaan memperoleh tempat kedua liga sudah semestinya mengharapkan momentum yang dicapai ketika saingan liga berterusan agar dapat terus beraksi baik pada saingan ''Grand Final'' ini nanti.

Cabaran dari pendatang baru, Kuala Lumpur MK dan juga dua pasukan meningkat naik, Perak dan Kedah juga tidak seharusnya dipandang sepi kerana seperti sedia maklum para pemain ketiga-tiga pasukan mempunyai semangat juang tinggi dan tidak mudah menyerah semestinya akan menjadi ancaman kepada T-Team pada saingan itu nanti.

Walaupun aksi di saingan liga banyak memperlihatkan aksi-aksi menarik dan menghiburkan, peminat sudah semestinya mengharapkan pusingan ''Grand Final'' ini menjanjikan aksi yang lebih mendebarkan. Aksi di pusingan ini sudah semestinya menghadirkan cabaran serta debaran yang berlainan kerana suasana serta jadual perlawanan yang padat memungkinkan aksi yang diharapkan akan bertambah menarik dan menghiburkan semua. Sama-sama kita nantikan impak pusingan ''Grand Final'' ini.