Potensi Pemain Jadi Tumpuan Muizzuddin

Ketua jurulatih skuad futsal wanita negara, Muizzuddin Haris, mahu fokus terhadap prestasi barisan pemain secara individu dalam kem latihan pusat sebelum memuktamadkan 14 pemain ke Sukan SEA, Ogos ini.

Seramai 19 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat kali ini perlu lebih serius dalam menonjolkan keupayaan tersendiri untuk tersenarai dalam skuad itu.

Muizzuddin, yang menggalas tugas selaku ketua jurulatih sejak Februari lalu, mahu menumpukan perhatian kepada potensi pemain daripada segi serangan dan bertahan.

"Kekurangan pemain adalah daripada segi kekuatan, jadi pada fasa kali ini sehingga Sukan SEA, kami akan gunakan masa yang ada untuk membinanya semula," katanya.

Meskipun kehilangan dua tonggak utama, iaitu kapten pasukan, Nur Izzati Khairudin, dan penjaga gol, Nurul Atiqa Zaifulizan, dia percaya akan kebolehan pemain lain dalam merebut tempat dalam skuad.

Sementara itu, salah seorang pemain, Nur Syazreen Munazli, menyifatkan kem latihan tidak menjadi masalah besar buat mereka meskipun dalam bulan Ramadan.

"Kem kali ini agak mencabar disebabkan dalam waktu berpuasa, tetapi itu tidak boleh dianggap bebanan dan Insya-Allah kami mampu berlatih sebagai satu pasukan," katanya.

Sesi latihan berjalan seperti biasa pada waktu pagi sebelum disambung pada sebelah malam.

Artikel oleh Astro Arena/Stadium Astro