Piala Dunia 2016 : Apa Khabar Wakil Asia Di Colombia?

Kejuaraan Futsal Piala Dunia FIFA 2016 telah memulakan tirainya pada 10 September lalu menyaksikan 5 pasukan mewakili benua Asia dalam kejohanan yang diadakan di Colombia itu.

Negara yang dimaksudkan adalah pasukan ranking pertama Asia, Iran bersama-sama Uzbekistan, Thailand, Vietnam dan Australia yang sudah pastinya hadir dengan cita-cita besar dalam mengangkat kualiti futsal Asia dimata dunia.

2832298_xlarge-lnd

Setelah melalui perlawanan sulung, Vietnam dan Australia berjaya mencipta kemenangan pertama manakala Iran, Uzbekistan dan Thailand gagal menyaingi lawan masing-masing walaupun mempamerkan aksi mengagumkan.

Vietnam yang dibimbing Bruno Garcia Formoso memperoleh kemenangan sulung pada penampilan pertama dalam Piala Dunia apabila dibantu jaringan hatrik dari Nguyen Minh Tri serta satu gol menerusi Tran Van Vu bagi membenam cabaran Guatemala dengan keputusan 4-2.

Kemenangan tersebut diikuti Australia setelah menang tipis 3-2 keatas Mozambique yang menduduki tangga ke-51 ranking dunia ketika ini. Jaringan dari Jonathan Barrientos, Adam Cooper dan Gregory Giovaneli mengesahkan 3 mata pertama buat skuad Futsalroos itu.

2832196_xlarge-lnd

Skrip berbeza dialami Iran yang berdepan tugas sukar apabila bertemu juara dunia 2 kali, Sepanyol pada perlawanan yang berlangsung pagi tadi yang menyaksikan Iran terpaksa berputih mata dengan kekalahan 1-5. Sepanyol ternyata lebih bersedia menentang skuad bimbingan Mohammad Nazemosharia itu apabila Iran pernah melakukan kejutan dengan mengikat Sepanyol dengan keputusan 2-2 pada perlawanan pertama Piala Dunia 2012 di Thailand.

Sementara itu Thailand mempamerkan aksi melawan yang wajar dipuji apabila bangkit dari ketinggalan 1-3 menentang Russia yang kini menghuni tangga ke-3 ranking dunia sebelum tumpas 4-6 dalam aksi yang mendebarkan. Jaringan Thailand dihasilkan oleh Suphawut Thueanklang, Jirawat Sornwichian, Apiwat Chaemcharoen dan Jetsada Chudech.

Uzbekistan turut menerima nasib yang sama apabila kecundang 1-3 ditangan Panama dalam saingan kumpulan A yang berlangsung dihadapan kira-kira 7530 orang penonton yang hadir ke Coliseo El Pueblo, Cali.

2832788_xlarge-lnd

Dengan aksi yang ditampilkan pasukan dari benua Asia ini pada perlawanan pertama, ternyata kualiti yang ada pada pemain Asia juga semakin mempamerkan peningkatan yang positif.

Kredit foto : Fifa.com