Phoenix RC Terus Warnai Kancah Futsal Wanita

Andai berbicara soal futsal wanita pastinya kurang mendapat perhatian di negara kita namun, penglibatan pasukan Kelab Rekreasi Phoenix atau lebih dikenali sebagai Phoenix RC tidak wajar dipandang enteng apabila banyak melahirkan bakat baru serta pemain berbakat dalam sukan ini. Kelab yang berdaftar di bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan sejak Disember 2011 ini pada asalnya dikenali sebagai Figos FC sekitar tahun 2006 penubuhannya.

Disamping misi pasukan ini untuk menjadi kelab terbaik di Malaysia, penglibatan para pemain dari pasukan ini dalam kejohanan-kejohanan seperti Liga Futsal Kebangsaan, Liga Institut Pengajian Tinggi , Pertandingan Badan Berkanun dan banyak lagi membuktikan bahawa penubuhan Phoenix RC ini bukan sekadar untuk melepaskan batuk di tangga.

Individu yang bertanggungjawab membawa Phoenix RC ke tahap sehingga ke hari ini adalah Encik Shamsul Azizan yang menjadi tunjang kepada kecemerlangan pasukan wanita yang agak sinonim dalam kancah futsal wanita. Kini segala penat lelah beliau membawa pembaharuan serta penambahbaikan untuk pasukan ini sedikit terubat dengan kejayaan demi kejayaan yang dicapai serta tahun ini merupakan ulangtahun ke-10 penubuhan Phoenix RC.

12910223_1332818200068374_698321915_n

Viva La Phoenix ( Hidup Phoenix ) merupakan motto pasukan ini dimana ianya dijadikan azimat buat para pemain bagi terus menyalakan harapan serta impian menggunung bagi merealisasikan impian untuk menjadi kuasa besar dalam arena futsal wanita di negara ini.

Terlalu banyak kejayaan yang telah diraih oleh Phoenix RC sejak 2011 dan perkara ini diperkuatkan lagi dengan pencapaian beberapa pemain yang begitu menyerlah di pentas antarabangsa seperti Hanis Farhana Shamsul Azizan yang berpengalaman luas selaku pemain futsal kebangsaan.

Penjaga gol, Atiqa Zaifulizan yang mencuri tumpuan banyak pihak dengan aksi menarik ketika di Kejuaraan Futsal Wanita AFC juga turut menganggotai pasukan ini. Disamping itu penjaring terbanyak Kejuaraan Futsal Wanita AFC, Farahiyah Ridzuan bersama-sama ketua pasukan skuad futsal negara ketika ini iaitu Nur Izzati Khairuddin turut pernah menyarung jersi Phoenix RC satu ketika dahulu.

12921987_1332834120066782_1001762833_o

Manakala 7 orang pemain yang membantu pasukan wanita Selangor menjuarai Liga Futsal Kebangsaan 2016 dan naib juara Piala Futsal Kebangsaan 2016 juga merupakan hasil dari produk Phoenix RC. Disamping itu, pasukan ini turut mendapat bimbingan dari jurulatih skuad futsal wanita negara iaitu Encik Chiew Chun Yong. Berbekalkan dengan bimbingan dari beliau serta adunan pemain yang berpengalaman luas dalam futsal ianya pasti menjadi senjata utama kepada keampuhan buat pasukan ini.

Semua kejayaan itu tidak akan hadir tanpa kerja keras dari para pemain dan juga semangat kekeluargaan yang diterapkan dalam kalangan para pemain Phoenix RC. Latihan pasukan diadakan setiap hari Isnin bagi menerap serta mengamalkan konsep bermain futsal dengan sistem yang baik dan corak permainan cantik.

Ketua pasukan, Syazalina Mohd Affandi yang turut berpengalaman beraksi bersama PKNS satu ketika dahulu menyifatkan usaha yang dilakukan oleh Phoenix RC adalah suatu yang sangat baik. ‘’ Kami sentiasa menggalakkan kaum wanita untuk melibatkan diri dalam aktiviti sihat kerana selain dari mengeratkan silaturrahim sesama wanita, ia juga secara tidak langsung dapat menyumbang kepada perkembangan industri futsal wanita di Malaysia’’, ujar beliau.

Phoenix RC 2

‘’ Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada penaja-penaja terdahulu dan juga penaja terbaru seperti Golden Gara Ventures, RF Empire Resources, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan ( WIPERS ), Nippon Paint dan Extravaganza Futsal atas kesudian menaja pasukan kami pada tahun ini’’, tambah Syazalina lagi.

Pengurus pasukan Phoenix RC, Encik Shamsul Azizan ketika ditemui ternyata cukup bersyukur dengan pencapaian pasukan setelah 10 tahun ditubuhkan itu. "Melihat Phoenix RC sekarang, saya rasa amat berbangga dengan pencapaian serta kejayaan yang dikecapi oleh kelab ini. Terasa berbaloi masa dan tenaga yang diabadikan selama 10 tahun dalam arena futsal wanita ini. Terima kasih yang tak terhingga kepada para pemain,peminat dan barisan penaja yang begitu yakin dengan prinsip yang diamalkan oleh Phoenix RC".

Arena Futsal Malaysia mengucapkan selamat maju jaya dan juga ulangtahun ke-10 buat Phoenix RC yang mewarnai arena futsal tanah air dan seterusnya melahirkan bakat – bakat yang mampu diketengahkan dalam futsal wanita di Malaysia.

Phoenix RC 3

Kredit Foto : FB Rasmi Phoenix RC