Persembahan Membanggakan Di Kejohanan Futsal Komanwel 2015

Saingan skuad kebangsaan di Futsal Piala Komanwel diakhiri dengan kekalahan kepada pasukan ke-28 ranking dunia, Australia. Kekalahan tipis 0-1 itu melenyapkan impian Fitri Yatim dan rakan-rakan untuk mengungguli saingan edisi sulung ini.

Namun, Australia yang mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang kejohanan tidak diberi laluan mudah untuk menumpaskan skuad negara. Penjaga gol, Azrul Hadee wajar diberikan pujian pada perlawanan ini apabila banyak menyelamatkan percubaan yang dijelmakan oleh pasukan 'Futsalroos'.

Skuad negara juga banyak kali mengancam kubu Australia pada separuh masa kedua khususnya, namun kecekapan penjaga gol, Angelo Konstantinou yang berusia 36 tahun berjaya mengawal gawangnya dari dibolosi skuad negara. Ketenangan dan kewibawaan penjaga gol veteran ini menidakkan harapan menggunung yang disandarkan pada skuad negara bagi kejohanan ini.

Ketua pasukan, Fitri Yatim ketika dihubungi memohon maaf kepada seluruh peminat futsal di tanah air kerana gagal menghadiahkan kemenangan pada perlawanan menentang Australia tadi. Beliau bersama rakan sepasukan terpaksa akur walaupun sudah berusaha dengan sehabis baik namun rezeki tidak berpihak pada mereka. Kami mempunyai beberapa peluang yang baik untuk menjaringkan gol namun ketangkasan lawan menafikan peluang kami, ujarnya lagi.

Pemain yang mewakili Felda United ini menggesa rakan sepasukan supaya fokus pada Kejohanan Futsal AFF 2015 dan memperbaiki segala kelemahan untuk menepati sasaran mereka apabila ingin layak ke perlawanan akhir kejohanan serantau itu. Berbekal dengan pemain yang ada sekarang, ketua pasukan negara ini optimis untuk mencapai sasaran tersebut.

Kesimpulannya, kekalahan tipis ini tidak perlu ditangisi dan harus dijadikan kayu pengukur terhadap prestasi semasa mereka kerana skuad negara mempunyai misi yang lebih penting apabila akan beraksi di Kejohanan AFF 2015 pada bulan Oktober nanti yang berlangsung Bangkok. Skuad negara yang diundi bersama Thailand, Timor Leste, Singapura dan Brunei dilihat mampu untuk melepasi peringkat kumpulan.

Sekalung tahniah diucapkan kepada seluruh anggota skuad kebangsaan pada kejohanan Futsal Piala Komanwel 2015 ini diatas semangat juang yang ditunjukkan. Masih ada masa untuk memperbaiki kekurangan bagi terus meningkatkan mutu permainan bagi peringkat tertinggi. Tahniah dari kami warga Arena Futsal Malaysia.

Foto : Futsal Whites