Perkembangan Positif Namun Perjalanan Masih Jauh - Chiew Chun Yong

Pengendali pasukan kebangsaan B-20, Chiew Chung Yong tidak mahu cepat berpuas hati atas prestasi para pemainnya yang berjaya membenam pasukan Pahang semalam.

Menurut beliau banyak lagi aspek yang perlu diperbaiki menjelang kejohanan antarabangsa pertama mereka 16 Mei ini.

"Mereka beraksi mengikut perancangan tetapi kurang konsisten ketika menggerakkan bola untuk memecah pertahanan lawan. Tapi saya tidak mahu terlalu cepat meminta mereka untuk mencapai tahap mana yang saya kehendaki kerana saya perlu berhati-hati dalam meningkatkan momentum permainan mereka dengan cara yang betul".

"Apa pun saya gembira kerana mereka memahami strategi yang mahu saya terapkan, menunjukkan mentaliti permainan yang baik serta tahap fokus yang cukup positif pada kedua-dua babak permainan. Perkembangan ditunjukkan cukup positif tetapi perjalanan masih jauh.

 "Mereka kini perlu mula bermain mengikut keperluan peringkat antarabangsa. Sudah tentu kejohanan di Bangkok nanti adalah platform terbaik untuk menilai tahap pasukan futsal muda kita berbanding negara membangun lain yang mempunyai liga futsal peringkat remaja yang lebih baik.

Pasukan kebangsaan B-20 akan beraksi di perlawanan persahabatan kedua mereka menentang Melaka United esok sebelum senarai 14 nama yang akan ke Bangkok dipilih.

 Perlawanan ini sebahagian persiapan skuad B-20 kebangsaan menjelang Kejuaraan Futsal B-20 AFC 2017 di Bangkok, Thailand dari 16 hingga 26 Mei ini yang menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Thailand, Afghanistan, Bahrain, Iraq dan Brunei.